Australia lanjutkan sekatan pergerakan di Melbourne dua minggu lagi

Pegawai Australia semalam melanjutkan sekatan pergerakan virus yang ketat di bandar raya kedua terbesar di negara itu selama dua minggu lagi, dengan menyatakan kes baharu belum turun secukupnya untuk mencegah satu lagi peningkatan penularan.

Penduduk Melbourne dijadual keluar daripada sekatan pergerakan selama enam minggu yang ketat pada hujung minggu depan tetapi berdepan dengan sekatan yang berterusan selama beberapa bulan akan datang, dan ketua menteri negeri Victoria, Daniel Andrews, berkata sekatan pergerakan sekarang akan terus dilaksanakan sehingga 28 September.

“Jika kita membuka negeri terlalu cepat, maka kita ada kemungkinan yang sangat tinggi bahawa kita tidak akan benar-benar membuka langsung – kita hanya akan memulakan gelombang ketiga,” katanya di satu sidang akhbar.

“Dan kita akan keluar masuk sekatan lagi, keluar masuk sekatan pergerakan, sebelum hujung tahun.”

Hanya 63 kes baharu dan lima kematian direkodkan di Victoria semalam, selepas ia memuncak melebihi 700 pada kemuncak wabak, tetapi pegawai kesihatan mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Harapan untuk kembali kepada keadaan normal pada bulan ini telah dimusnahkan, dengan perintah berkurung pada waktu malam, sekatan ke atas pelawat ke rumah dan had ke atas perjalanan lebih lima kilometer yang akan dikekalkan sehingga sekurang-kurangnya 26 Oktober.

Ketika mengumumkan peta jalan untuk melonggarkan sekatan, Andrews berkata terlalu terburu-buru untuk mengalami “tempoh sinaran matahari seketika” kemungkinan akan menyebabkan virus itu sekali lagi meningkat sehingga tidak dapat dikawal lagi.

Peraturan paling sukar akan dilonggarkan di Melbourne bermula 13 September, dengan perintah berkurung pada waktu malam yang bermula sejam lebih lewat pada jam 9.00 malam, senaman harian ditambah kepada dua jam dan “gelembung sosial” kecil diwujudkan untuk orang yang hidup bersendirian.

Di bawah rancangan kerajaan, pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka semula dan seramai lima orang dapat berhimpun di tempat terbuka bermula hujung September – tetapi hanya jika kes jatuh di bawah purata 50 sehari.

Peraturan bagi orang yang tinggal di luar bandar Victoria akan dilonggarkan dengan lebih cepat kerana jumlah kes aktif yang sedikut di kawasan tersebut.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas lebih 12 penunjuk perasaan anti sekatan pergerakan ditangkap di Melbourne sewaktu pertelingkahan dengan polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here