Bomba pantau struktur ban ketika air pasang besar

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melakukan rondaaan lebih kerap di kawasan tambakan ban ketika fenomena air pasang besar yang dijangka bermula bulan ini.

Penolong Pengarah Operasinya, Hafisham Mohd Noor berkata ia bagi memastikan struktur ban kukuh serta tidak pecah yang berisiko menyebabkan banjir sekiranya ketinggian air pasang melebih had.

“Semua agensi memantau fenomena ini namun JBPM lebih mengutamakan kawasan ban. Jika pecah penduduk yang menjadi mangsa dan matlamat kami mahu menyelamatkan mangsa dalam masa singkat.

“Pantauan dilakukan bermula awal bulan ini di kawasan berisiko terutama Kapar, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

Pada 3 September lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi fenomena tersebut.

Ia diramalkan berlaku pada 19 dan 20 September, 17 sehingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here