Pertelingkahan cemari ulang tahun ke-47 kudeta Chile

Pihak polis Chile kelmarin menyatakan lebih 100 orang telah ditangkap selepas pertelingkahan ketika sambutan ulang tahun ke-47 kudeta yang menggulingkan kerajaan haluan kiri pimpinan Salvador Allende.

Seramai 16 anggota polis dan orang awam telah tercedera dalam perbalahan yang meletus selepas majlis memperingati Allende, yang meninggal dunia dalam rampasan yang membawa kepada pemerintahan tentera selama 17 tahun di bawah Jeneral Augusto Pinochet.

Jeneral polis Ricardo Yanez menyatakan tiga berek polis telah diserang, pasukannya telah disasari beberapa serangan dengan alat rekaan untuk menyebabkan kebakaran dan beberapa kenderaan dibakar.

Kebanyakan kekacauan berlaku di bandar utama Santiago, selepas perarakan ke istana presiden La Moneda bagi memberikan penghormatan kepada Allende.

Pertempuran berlarutan sehingga dinihari.

Tarikh tersebut setiap tahun dicemari insiden-insiden ganas di antara penunjuk perasaan dan pihak polis, dengan penduduk di beberapa kawasan kejiranan meletakkan penghadang.

Yanez menyatakan jumlah insiden ganas meningkat tahun ini namun kurang tegang berbanding sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri Victor Perez memberitahu sidang media bahawa jelas terdapat kumpulan ganas yang perlu dihadapi dan dibawa ke muka pengadilan.

Kebanyakan pertelingkahan berlaku di Santiago, terutama di sekitar dataran utama Plaza Italia yang menjadi pusat utama bantahan sosial selama beberapa bulan yang meletus pada Oktober tahun lepas dan menyebabkan kira-kira 30 orang terkorban dan ribuan lagi tercedera.

Allende membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri semasa rampasan kuasa pada 11 September, 1973 setelah bersumpah tidak akan ditangkap hidup-hidup ketika pasukan tentera Pinochet menyerbu istana presiden.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here