RoS benar adakan mesyuarat agung sehingga 31 Disember

Pertubuhan berdaftar dibenar melaksanakan mesyuarat agung selewat-lewatnya 31 Dis 2020 setelah mengambil kira kesukaran yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19, demikian menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam kenyataan di sini semalam, RoS memaklumkan ia menerima banyak permohonan daripada pertubuhan berdaftar untuk melanjut atau menangguhkan pelaksanaan mesyuarat agung pada tahun ini berikutan tidak dapat memenuhi kehendak prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya ialah ketiadaan kapasiti ruang yang boleh menempatkan ahli-ahli hadir mesyuarat terutamanya bagi pertubuhan yang bertaraf kebangsaan serta mempunyai cawangan dengan ahli yang ramai di seluruh negara, katanya.

Di samping itu, tempoh untuk melaksanakan mesyuarat agung berkenaan juga amat singkat bagi persediaan mesyuarat seperti penghantaran notis yang memerlukan tempoh masa yang ditetapkan selaras dengan perlembagaan pertubuhan masing-masing, katanya.

RoS berkata kebenaran itu diberikan untuk memastikan pertubuhan berdaftar tetap melaksanakan mesyuarat agung pada tahun 2020 dan tidak melangkaui tahun semasa agar pengurusan pertubuhan dapat dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak perlembagaan pertubuhan dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Kebenaran yang diberikan adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 3A, Akta 335,” kata RoS.

RoS berkata selepas pelaksanaan mesyuarat agung berkenaan, pertubuhan berdaftar hendaklah mengemukakan penyata tahunan kepada RoS selaras dengan peruntukan Seksyen 14(1), Akta 335.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here