Covid-19: 30 Sekolah Di Lahad Datu Tutup Hari Ini

Sebanyak 30 sekolah di mukim bandar, kawasan Silam dan Silabukan ditutup sementara bermula hari ini hingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengarah Pendidikan Sabah Mistirine Radin berkata, langkah itu bertujuan membantu usaha jawatankuasa bencana daerah serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah atas nasihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagaimanapun, Mistirine berkata 5 sekolah menengah yang terlibat masih melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di bilik darjah membabitkan pelajar tingkatan 5 dan 6.

“Saya harap guru serta pelajar patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh penutupan sekolah itu, PdP bagi kelas prasekolah hingga tingkatan 4 akan dijalankan secara dalam talian dan pembelajaran berasaskan projek (PBL) digalakkan.

Sementara itu, Mistirine berkata terdapat 13 sekolah lain ditutup lebih awal untuk tujuan proses nyah cemar, iaitu sebuah di Tawau dan masing-masing 3 di Kunak serta 9 di Lahad Datu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here