Kakitangan NU Sentral positif Covid-19

Pihak pengurusan NU Sentral memaklumkan seorang kakitangannya didapati positif Covid-19 semalam.

Dalam kenyataan hari ini NU Sentral berkata, ketika ini pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung langkah pencegahan diperlukan dan menegaskan kes yang berlaku adalah terpencil.

“KKM sudah menjalankan pengesanan kontak rapat termasuk kakitangan di pejabat pengurusan NU Sentral, mereka sudah menjalani pemeriksaan Covid-19 pada 26 September dan hasil ujian pertama mendapati semua kakitangan didapati negatif.

“Bagaimanapun, semua kakitangan diminta menjalani kuarantin secara sukarela selama 14 hari dan mereka juga akan bekerja di luar pejabat, namun masih boleh dihubungi seperti biasa,” katanya.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pusat beli-belah itu sudah menjalankan proses sanitasi secara menyeluruh di seluruh kawasan, sesuai dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan dikeluarkan KKM pada 26 September.

“Kami akan terus melakukan langkah pencegahan dan langkah berjaga-jaga ini dilakukan disebabkan keselamatan pekerja, rakan perniagaan dan masyarakat awam sangat penting bagi kami,” katanya.

Katanya, semua pengunjung dinasihati terus mematuhi SOP dikeluarkan KKM, mengamalkan kebersihan yang baik, memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial setiap masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here