LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas susulan pencemaran air mentah sejak Ahad lalu telah beroperasi semula hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk LRA Sungai Semenyih telah mencatatkan bacaan sifar ton sebanyak tiga kali berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, ujian persampelan yang dijalankan sehingga jam 6 pagi ini masih mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap dua ton.

Menurutnya, LRA Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan pam air mentah pada pagi ini untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.

“Usaha untuk merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa selama 12 jam sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut kawasan apabila proses menstabilkan rawatan air dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 92 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

“Sebanyak 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 9 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Ahad lalu, empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dilapor berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Ia ekoran LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan daripada insiden pencemaran tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here