Sambut baik guna bas mini, gesa tambah laluan luar Bandar

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati menyambut baik cadangan penggunaan bas mini Smart Selangor untuk laluan luar bandar.

Juwairiya Zulkifli bagaimanapun berharap bas mini digunakan untuk menambah laluan baharu bukan mengganti perkhidmatan bas laluan sedia ada.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat kerana bas bersaiz biasa tidak sesuai di desa kerana hanya sebilangan kecil menggunakannya tetapi masih diperlukan mereka yang bergantung kepada keluarga untuk pergi serta pulang dari tempat kerja,” katanya.

ADN Dusun Tua pula berkata penggunaan bas mini di laluan luar bandar perlu seiring dengan pertambahan laluan baharu bagi memudahkan pergerakan rakyat.

“Saya menyambut baik usaha untuk meluaskan capaian Bas Smart Selangor ke luar bandar kerana laluan perkhidmatan setakat ini lebih tertumpu di bandar,” kata Edry Faizal Eddy Yusof.

Bagi ADN Morib Hasnul Baharuddin cadangan penggunaan bas mini akan menjimatkan kos kerana laluan luar bandar kurang penumpang berbanding di bandar manakala bas sedia ada boleh digunakan bagi tujuan lain antaranya untuk kegunaan jabatan lain.

Pada 10 Oktober EXCO pengangkutan awam mencadangkan penggunaan bas mini bagi mengganti bas Smart Selangor sedia ada untuk laluan luar bandar.

Ng Sze Han berkata cadangan tersebut antara tumpuan yang bakal diberikan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah (B40).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here