Pemberian kad UNHCR dikaji semula

Larut: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji secara terperinci pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan pelarian Rohingya tidak terus masuk dengan bebas ke Malaysia. Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kajian itu perlu disegerakan bagi mengetahui mengapa pelarian ini boleh mendapat kad UNHCR ini dengan mudah dan bebas di negara ini.

Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka ini dapat kad dengan mudahnya. Orang asing datang masuk negara kita tanpa dokumen, lepas itu terus nak pergi dapatkan kad UNHCR. Itu sesuatu yang tak betul dan kita bukan membuka negara kita ini untuk pendaftaran UNHCR dan sebab itu saya ambil satu sikap yang tegas bahawa kad itu bukan bermakna bahawa mereka boleh tinggal dalam negara kita sampai bila-bila,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf Parlimen Larut di Dewan Astaka Batu Kurau di sini, hari ini.

Menurutnya, biarpun Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai perikemanusiaan, namun itu tidak bermakna pelarian boleh masuk dan bebas dengan sewenang-wenangnya di negara ini. Dalam perkembangan lain, Hamzah menegaskan, depot tahanan yang menempatkan pelarian ini bukanlah penjara.

Penjara itu bermaksud mereka telah pun didakwa dan dihukum jadi tentu kita akan lebih berhati-hati dengan mempunyai semua alat-alat peralatan mencukupi untuk menahan mereka lari daripada depot. Tapi ini adalah tahanan yang kita buat atas sifat keperimanusiaan yang kita berikan satu tempat yang selesa kepada mereka.

Sepatutnya orang seperti ini kita hantar dia balik tapi kita nak hantar dia balik ke mana? Jadi ini yang menyebabkan kita berikan mereka satu penempatan dan sepatutnya mereka tak larilah,” katanya. Menurutnya lagi, tindakan mereka yang melarikan diri bermakna kumpulan terbabit mahu melakukan satu kesalahan.

Tindakan mereka melarikan diri seperti mereka mahu bebas di negara ini sedangkan mereka sendiri tidak ada dokumen? Apakah kita mahu melihat perkara itu berlaku dan itu yang menyebabkan kita tahan supaya mereka dapat memberitahu kepada rakan-rakan mereka yang belum sampai lagi, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here