Bekalan PPE untuk kakitangan Penjara Reman hanya bertahan seminggu

Bekalan peralatan pelindung diri (PPE) sedia ada untuk kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang, cukup untuk kira-kira tempoh seminggu, kata Timbalan Penguasa Penjara Reman Pulau Pinang Azman Husain.

Beliau berkata kakitangan penjara semasa bertugas, menggunakan antara 300 dan 400 PPE pakai-buang setiap hari, untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan Covid-19.

“Kami menjangkakan kami mempunyai cukup PPE untuk kakitangan kami untuk tempoh seminggu (bermula semalam). Kami memerlukan lebih banyak PPE, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini dilanjutkan,” katanya kepada pemberita.

Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangannya diletakkan di bawah PKPD bermula dari 15 hingga 28 Okt, selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di sana.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin menyumbangkan 1,000 PPE bernilai RM20,000, kepada kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini.

Menurut beliau, 1,000 PPE itu dihasilkan dalam masa dua bulan dan mengalu-alukan sebarang sumbangan dalam bentuk dana atau bahan mentah, untuk meneruskan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sedang dilaksanakan itu.

“Sekiranya terdapat pertubuhan bukan kerajaan atau individu yang ingin menjadi sukarelawan atau mahu melakukan CSR seperti itu dalam membantu menghasilkan PPE, supaya dapat menghubungi kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here