Musa Aman punca gelombang ketiga Covid-19, kata DAP

Individu yang perlu bertanggungjawab terhadap tercetusnya gelombang ketiga Covid-19 ketika ini adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata selama 15 tahun sebagai Ketua Menteri, Musa Aman telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah, sebuah negeri yang terkaya dengan hasil sumber di Malaysia kekal sebagai negeri termiskin dalam negara.

Walhal kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Musa mempunyai lebih daripada cukup, masa untuk memenuhi janji Pilihan Raya Umum (PRU) 1994 yang dibuat oleh Umno Sabah untuk melahirkan Sabah Baharu.

“Pertamanya, Umno menjanjikan pada tahun 1994, untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah, daripada 33 peratus pada tahun itu kepada sifar menjelang tahun 2000.

“Tetapi selepas lebih daripada setengah abad, Sabah kekal sebagai di antara yang termiskin di Malaysia, berada dalam kalangan negeri seperti Kelantan. Inilah bukanlah kemajuan, tetapi kemunduran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Kit Siang berkata, Umno juga berjanji untuk menghapuskan rasuah tetapi Sabah hari ini merupakan salah satu negeri dengan masalah rasuah yang amat serius di mana para pemimpin politik yang korup kelihatan seakan-akan kebal dari pendakwaan.

Sementara itu, beliau mempertikaikan tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa pengekangan penularan Covid-19 di Sabah telah tertangguh akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Justeru beliau mempersoalkan apa ‘sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan’ itu sehingga jumlah kes Covid-19 di Sabah daripada 426 kes dan lapan kematian pada 1 September, kepada 8,082 kes dan 64 kematian setakat semalam.

Menurutnya, ini adalah satu peningkatan jangkitan yang mengejutkan di Sabah iaitu peningkatan lebih daripada 19 kali ganda, dan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

“Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab, yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?

“Saya akan katakan, jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa Aman.

“Saya seru kerajaan Perikatan Nasional untuk berhenti bermain politik dan menumpukan tenaganya ke arah menyalurkan semua sumber yang ada bagi melawan wabak Covid-19 di Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menyalahkan Bersatu di atas gelombang ketiga yang berlaku kerana menolak cadangan kuarantin daripada Menteri Kesihatan daripada Umno.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga dianggap sebagai lambat laksana kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang daripada Sabah sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.

Najib turut menyalahkan Menteri Dalam Negeri Bersatu, Datuk Hamzah Zainudin kerana tidak mengasingkan banduan mengikut SOP yang menyebabkan berlakunya beberapa kluster jangkitan di pusat tahanan di Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here