Nahas helikopter di Lumut: Agong, PM ucap takziah

Nahas helikopter di Lumut: Agong, PM ucap takziah

Kuala Lumpur, Apr.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Baginda amat sedih dengan kehilangan wira negara dalam tragedi mengorbankan 10 anggota TLDM itu. “Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.

“Saya juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian ini,” titah Sultan Ibrahim dalam catatan Facebook.

Terdahulu, TLDM memaklumkan lembaga siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat nahas melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter FENNEC miliknya.

Difahamkan, kedua-dua helikopter itu yang berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi tadi bertembung semasa latihan lintas hormat sempena Hari TLDM ke-90.

Helikopter HOM itu dilaporkan terhempas di Stadium TLDM, manakala FENNEC terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.

Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan tragedi itu memberi kesan mendalam kepada keluarga ATM serta kehilangan besar buat negara.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya,” katanya dalam kenyataan yang berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here