Ramai sudah letih dengan Covid-19, Trump panggil saintis sebagai ‘bodoh’

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyelar saintis, Anthony Fauci dalam kempennya semalam, dengan menyatakan bahawa doktor yang sangat dihormati dan popular itu sebagai bodoh.

Fauci adalah ketua untuk pasukan Covid-19 Rumah Putih, kini menjadi sasaran kekecewaan Trump selepas beliau berusaha untuk memperbetulkan mengenai tindakan kerajaan yang banyak dikritik berhubung pandemik itu.

Fauci, 79, yang hampir 50 tahun dalam perkhidmatan awam terkenal di seluruh dunia kerana mengendalikan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan di pinggir bandar Washington.

“Semua orang sudah letih dengan virus ini, malah mereka juga malas hendak memikirkannya, biarkan mereka.

“Orang ramai sudah letih dengan situasi ini dan mendengar apa yang dikatakan Fauci dan semua itu bodoh,” kata Trump.

Trump berkata demikian kepada pasukan kempennya ketika AS menyaksikan hampir 220,000 kes kematian akibat Covid-19.

“Dia berada di sini umpama sudah 500 tahun. Jika kita mendengar apa yang diperkatakan Fauci, mungkin kematian boleh mencapai sehingga 800,000 orang,” katanya merujuk kepada Fauci.

Malah, Trump juga tidak teragak-agak untuk memecat Fauci sebelum pilihan raya 3 November depan.

Walaupun begitu, serangan Trump terhadap Fauci dipertahankan oleh Senator Republikan, Lamar Alexander.

“Dr Fauci adalah penjawat awam yang sangat terkenal di negara ini dan sudah berkhidmat dengan enam presiden sebelum ini, bermula dengan Ronald Reagan.

“Jika semua rakyat Amerika mendengar nasihat beliau, kita mungkin akan ada kes jangkitan Covid-19 yang sangat kurang dan selamat untuk kembali bekerja dan bersekolah serta makan di luar,” katanya dalam ciapan di Twitternya.

Ucapan Trump itu dibuat seminggu selepas Fauci menyatakan rasa tidak senangnya berikutan penggunaan klipnya dalam video kempen Trump mengenai Covid-19.

“Dalam hampir lima dekad dalam perkhidmatan awam, saya tidak pernah secara terbuka menyokong calon politik mana pun,” kata Fauci, mengatakan kenyataannya dalam video itu diambil di luar konteks.

Dalam banyak keadaan ketika maklum balas mengenai pandemik, Fauci telah menjelaskan atau memperbetulkan komen umum Trump mengenai perkembangan rawatan dan vaksin Covid-19.

Nada suara di antara mereka kadang-kadang berubah menjadi tegang, seperti pada April lalu ketika Trump menciap semula hantaran yang berisi tanda pagar #PecatFauci – sebelum meyakinkan rakyat Amerika bahawa ‘Tony’ melakukan pekerjaan yang hebat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here