Raflesia mekar di Tanah Tinggi Lojing

Raflesia atau dikenali sebagai bunga pakma merupakan spesis yang sukar ditemui dan dikatakan mempunyai kepercayaan tertentu buat masyarakat orang asli.

Bagi masyarakat orang asli di sini, mereka berharap bunga bersifat parasit dan berbau seperti bangkai yang ditemui di Tanah Tinggi Lojing atau lebih spesifik berdekatan Sungai Awek, Kampung Mendrop, Pos Brooke dipelihara.

Seorang penduduk orang asli, Kasim Malu, 70, berkata, penemuan bunga pakma di lokasi baharu itu amat menggembirakan kerana ia sukar ditemui.

“Bunga pakma ini hidup di tanah tinggi dan hutan tebal. Jadi hari ini (kelmarin) kita tunjukkan tempat baharu bunga Raflesia tumbuh. Buat orang asli bunga ini ada banyak kepercayaan dan kami tidak boleh sentuh dan tidak boleh ambil sesuka hati kerana ada kaitan dengan adat.

“Bagi kami, penemuan ini juga satu kejutan buat masyarakat kami apabila semakin ramai yang akan masuk hutan datang melihat bunga pakma ini,” katanya kepada pemberita.

Salah satu daripada tujuh putik bunga Raflesia yang ditemui dan dijangka akan kembang dalam masa beberapa bulan lagi.

Terdahulu Kasim berpengalaman sejak 40 tahun sebagai pemandu pelancong tempatan dibantu dua lagi orang asli membawa media Kelantan bersama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud melihat bunga pakma yang tumbuh di atas tanah di kawasan tersebut.

Perjalanan kira-kira 30 minit dari Eco Park Lojing dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda merempuh jalan berliku dan kadang kala curam itu yang kemudiannya diteruskan dengan berjalan meredah hutan lebih kurang 30 minit telah membawa kepada penemuan satu bunga Raflesia sedang mekar di atas tanah.

Lebih kurang dua meter sebelum lokasi penemuan bunga pakma berkenaan, kumpulan media yang mengikuti ekspedisi berkenaan dibantu penunjuk arah sudah dapat menjangka kewujudan bunga Raflesia kerana dapat menghidu bau busuk disebabkan terdapat satu bunga terbabit sudah mati di kawasan tersebut.

Berdasar pengalamannya, Kasim berkata, bunga berukuran sekitar 0.4 meter yang ditemui di ketinggian 1,000 kaki dari aras laut itu sudah tiga hari kembang dan akan mati dalam masa empat hari lagi kerana jangka hayat boleh bertahan selama tujuh hari.

Berdekatan dengan penemuan itu pelawat juga berpeluang melihat tujuh lagi putik bunga yang sedang membesar dan Kasim berkata, ia mengambil masa beberapa bulan lagi untuk kembang sepenuhnya.

“Di kawasan putik-putik bunga ini kami sudah tanda dengan kayu supaya tidak ada yang terpijak kerana saiznya masih kecil. Bunga ini akan kembang sepenuhnya dalam masa sembilan bulan. Jadi dengan adanya tujuh putik lagi orang ramai masih berpeluang untuk melihatnya kembang secara berperingkat.

“Jadi walaupun satu kejutan buat kami dengan kemasukan orang ramai, tetapi kami bersedia untuk membantu membawa masuk peminat dan pencinta alam sekitar untuk melihat keunikan ciptaan Tuhan yang berada di dalam hutan Lojing ini,” katanya.

Pemandangan cantik waktu hampir senja yang dirakamkan sewaktu turun dari lokasi penemuan Raflesia.

Kasim berkata, selain bunga Raflesia tumbuh di atas tanah terdapat juga pakma yang tumbuh pada akar secara tergantung tetapi ia mengambil masa lebih kurang enam jam meredah hutan untuk menemuinya termasuk air terjun tujuh tingkat.

Sementara itu, Mohd Aidil Afizie berkata, selain Raflesia, Kolam Air Panas Ber, penanaman sayuran dan buah-buahan di Tanah Tinggi Lojing yang menarik termasuk juga keunikan cara hidup masyarakat orang asli boleh menjadi tarikan pelancongan.

Mohd Aidil Afizie juga memberitahu, keistimewaan terbabit bukan sahaja boleh membantu mengembangkan lagi sektor pelancongan tempatan ketika mana negara berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi membantu ekonomi penduduk setempat.

“Begitu juga dengan adanya tujuh lagi putik bunga Raflesia yang akan kembang dalam masa beberapa bulan ini juga boleh menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke Kelantan khususnya di kawasan Tanah Tinggi Lojing ini. Ini juga dapat mendidik masyarakat untuk melancong di dalam negeri.

Banyak lagi yang masih belum diterokai sepenuhnya dan banyak pihak (penduduk, orang asli, pemandu pelancong alam semula jadi, pemandu pelancong) boleh memanfaatkan untuk mengembangkan lagi ekonomi serta pelancongan di Kelantan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan pelbagai pihak berkaitan untuk memajukan kegiatan pelancongan supaya dapat berkembang dengan baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here