Shah Alam, Mac-
Kerajaan disaran menggubal undang-undang baharu yang lebih khusus bagi menangani kesalahan berkaitan 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan lebih komprehensif.
Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, negara masih bergantung kepada undang-undang sedia ada yang telah lama dikuatkuasakan, namun tiada peruntukan khusus berkaitan kes 3R.
“Saya kira kita perlu perundangan baharu kerana isu 3R ini sesuatu yang baru diperkenalkan sebagai kesalahan khusus oleh kerajaan namun, kita masih menggunakan undang-undang sedia ada untuk menanganinya, sedangkan ia mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Kok Seong, antara akta yang digunakan ketika ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.
Katanya, terdapat kes di mana perbuatan menimbulkan ketegangan agama dilakukan oleh rakyat Malaysia yang berada di luar negara, malah ada kemungkinan ia turut dilakukan oleh warga asing.
Beliau berkata, situasi ini menimbulkan persoalan sama ada undang-undang sedia ada mampu menjangkau tindakan yang berlaku di luar negara.




















