Sudah tiba masanya untuk transformasi digital PKS

Ketika cara kehidupan rakyat Malaysia kini berubah dengan mengadaptasi teknologi dalam kehidupan seharian daripada perbankan internet hingga ke membeli barang runcit dalam talian disebabkan pandemik Covid-19, namun lebih sukar bagi perniagaan menuju ke arah sama termasuk di bawah kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Rutin bekerja di pejabat kini bertukar kepada bekerja dari rumah (BDR) sebagai sebahagian daripada norma baru, namun buat PKS ia dilihat masih belum bersedia untuk beralih daripada perniagaan kovensional ke alam maya. Kira-kira 70% PKS mengalami penurunan sehingga 50% pendapatan perniagaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ada sesetengah daripada mereka memiliki platform digital untuk menyokong perniagaan bata dan mortar sedia ada.

Tetapi bukan semua dalam kalangan mereka mampu berubah dalam tempoh singkat, terutama dengan mengambil kira PKP yang sekejap-sekejap dilaksanakan kembali.

Bagi sesetengah daripada mereka, faktor kekurangan dana jadi penyebab. Tidak seperti syarikat-syarikat besar yang memiliki penampan kewangan tersedia, sedangkan kebanyakan PKS mempunyai simpanan aliran tunai tidak lebih tiga bulan untuk bertahan.

PKS lain seperti kedai perabot, gunting rambut dan spa bergantung sepenuhnya kepada pelanggan ke kedai mereka.

Apa jua alasannya, tempoh pandemik menunjukkan dengan jelas perbezaan sekiranya PKS menerapkan pengunaan digital.

“Tingkah laku pengguna mampu mempengaruhi perniagaan tempatan disebabkan mereka akan memilih proses lebih mudah dan pantas melalui pengunaan e-dagang,” kata Azlan Zainal Abidin, ketua pegawai perniagaan perusahaan di konglomerat telekomunikasi mudah alih, kepada MalaysiaNow.

“Ketika ini, berada di platform digital bukan mengenai pertumbuhan lagi – ia juga mengenai kelangsungan dan kelestarian peniagaan itu sendiri.”

Kecil tetapi berkuasa

Sejumlah 98.5% PKS membentuk sebahagian besar perniagaan di negara ini, menurut penganalisis penyelidikan Emir Research, Sofea Azahar.

“PKS menyumbang sebanyak 38.3% kepada KDNK negara,” tambahnya.

“Kelangsungan perniagaan ini sangat penting untuk pemulihan ekonomi, dalam usaha mengekalkan momentum yang ditunjukkan pada tahun sebelumnya.”

Ini adalah perkara yang diperhatikan kerajaan sejak bermulanya pandemik di Malaysia awal tahun lalu.

Ketika pelaksanaan PKP hampir semua aktiviti perniagaan ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, dana berbilion-bilion ringgit disalurkan di bawah pakej Penjana bagi membantu PKS untuk pulih.

“Ketika ini, berada di platform digital bukan mengenai pertumbuhan lagi – ia juga mengenai kelangsungan dan kelestarian peniagaan itu sendiri.”

Melalui bantuan kewangan itu, Azlan dan Sofea berkata, PKS sepatutnya memanfaatkan pengunaan sistem penjualan elektronik menggunakan “cloud” atau penyelesaian pemasaran digital, terutama ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu seluruh negara.

“Selagi perniagaan menggunakan sepenuhnya insentif ini yang didorong penggunaan teknologi, survival PKS kekal wujud,” kata Sofea.

Tetapi semua itu lebih mudah diungkapkan daripada dilakukan.

Antara halangan menuju ke arah digital digambarkan Sofea sebagai “tidak memiliki bakat berkemahiran digital”

Katanya, perkara itu diburukkan lagi dengan kekurangan motivasi syarikat untuk melaksanakan proses peralihan perniagaan ke digital.

Namun, terdapat juga faktor lain di luar kawalan syarikat seperti jurang infrastruktur digital antara negeri dan perbezaan kesedaran untuk mengamalkan ekonomi digital.

Mengharungi rintangan itu mungkin sukar, melihat kepada tenaga kerja mahir negara hanya 27.5% dengan pekerja separa mahir berjumlah 60.1%.

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mustahil.

“Untuk menerapkan sepenuhnya digitalisasi, indikator-indikator ini memerlukan peningkatan dan peningkatan bakat melalui pendidikan,” kata Sofea, mencatat penurunan jumlah pelajar yang memilih mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah.

Adakah ia akan berbaloi? “Ya,” katanya dan bukan hanya untuk PKS.

“Memanfaatkan teknologi akan mewujudkan peluang buat rakyat Malaysia secara amnya,” katanya – asalkan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan peralihan digital yang lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here