Iota ragut sembilan nyawa, puluhan rumah ranap di Amerika Tengah

Taufan Iota mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang apabila ia memusnahkan rumah, menumbangkan pokok dan menenggelami jalan ketika ia melanda Amerika Tengah, kata pihak berkuasa kelmarin, hanya dua minggu selepas Taufan Eta memus-nahkan beberapa bahagian di rantau tersebut.

Iota, yang tiba di daratan Nicaragua sebagai taufan Kategori 5 yang membawa bencana pada Isnin lepas, mengorbankan enam orang di Nicaragua, dua daripada mereka kanak-kanak yang cuba menyeberangi sebatang sungai di bahagian selatan negara.

Dua orang lagi maut di kepulauan San Andres, Providencia and Santa Catalina dalam negara Colombia di Laut Caribbean, selain seorang wanita dalam komuniti peribumi Ngabe Bugle di Panama, di mana 2,005 orang masih berada di tempat perlindungan walaupun hujan sudah mula reda di sana.

Pada lewat kelmarin, Iota sudah reda daripada taufan kepada ribut petir tropika dengan ribut maksimum sederas 80 kilometer sejam, menurut Francisco Argenal, ketua meteorologi bagi jabatan perlindungan awam Honduras (Copeco).

Argenal memberitahu AFP, Iota memasuki Honduras di daerah timur El Paraiso dan melintas 35 batu ke selatan ibu negara Tegucigalpa.

Beliau meramalkan taufan itu sampai ke El Salvador pada awal pagi semalam.

Kerajaan Honduras meng-arahkan penutupan jalan utama di negara itu ekoran risiko daripada sungai yang melimpahi tebingan.

Iota menjadi satu-satunya taufan Atlantik pada tahun ini yang mencapai status Kategori 5, tahap maksimum di atas skala ribut Saffir-Simpson, sejurus sebelum ia tiba di daratan Nicaragua pada petang Isnin lepas.

“Ribut terlalu kuat,” kata Jessi Urbina, seorang penduduk di kawasan kejiranan El Muelle yang rosak teruk di Bilwi, Nicaragua, kepada AFP.

“Ia mengambil segalanya: bumbung kayu dan tingkap rumah saya, yang diperbuat daripada konkrit.”

Kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik dan khidmat telekomunikasi, menurut penyedia Telcor.

Pokok tumbang dan bumbung rumah robek, termasuk sebuah hotel, kata agensi bencana Sinapred.

Pihak berkuasa telah bergegas untuk memindahkan ribuan penduduk dari kawasan pantai Nicaragua dan Honduras yang berada pada laluan langsung taufan.

Kolonel John Fredy Se-pulveda, ketua polis di Providencia, berkata hospital tempatan kehilangan sebahagian bumbung, dan wilayah yang mempunyai kira-kira 6,000 penduduk itu terputus be-kalan elektrik.

Penyelamat dalam komuniti Tocoa di Honduras membantu memindahkan ratusan penduduk yang terperangkap disebabkan oleh air Sungai Aguan yang semakin meningkat dan melimpahi tebingan serta membanjiri beberapa rumah.

Di Nueva Jerusalen, ribut memusnahkan bumbung sebuah pusat kesihatan, merosakkan sekurang-kurangnya 38 rumah dan menumbangkan pokok, menurut Copeco.

Pegawai kaji cuaca Amerika Syarikat di Pusat Taufan Negara memberi amaran bahawa Iota akan membawa “ombak taufan yang meng-ancam nyawa, ribut yang membawa bencana, banjir kilat, dan tanah runtuh” di Amerika Tengah.

Taufan Eta tiba di daratan dalam kawasan yang sama sebagai taufan Kategori 4 pada awal November lepas sebelum ia reda dan menjadi ribut petir tropika, dengan membawa banjir berleluasa dan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 200 orang.

Prinsila Glaso, 80, memberitahu AFP pada Isnin lepas bahawa masyarakatnya ke selatan Bilwi telah “mus-nah” selepas dilanda Eta, dan bimbang Taufan Iota tidak akan meninggalkan apa-apa.

Lautan Atlantik telah me-nyaksikan musim taufan yang memecah rekod pada tahun ini dengan 30 taufan bernama dan 13 hurikan.

Laut lebih panas yang disebabkan oleh perubahan iklim menjadikan taufan lebih kuat bagi tempoh yang lebih lama selepas ia melanda daratan, kata saintis.

Pusat perlindungan di Nicaragua – yang sudah pun dipenuhi penduduk yang kehilangan tempat tinggal selepas dilanda Eta – dibebani lagi oleh ketibaan mangsa baharu, kata Eufemia Hernandez, penyelaras sebuah pusat di Universiti Uraccan, kepada AFP.

El Salvador dan Panama mengumumkan “amaran merah” menjelang laluan taufan yang diramalkan menerusi Amerika Tengah.

Negara jiran Guatemala, dengan kawasan luas dan besar yang masih belum pulih selepas dilanda Eta, turut berada dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi.

Media tempatan melaporkan lebih 175,000 orang sudah dipindahkan sejak Sabtu lepas, kebanyakannya di kawasan yang dibanjiri akibat Eta.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here