Giroud semakin menghampiri rekod 51 gol Thierry Henry

Olivier Giroud meneruskan rekod jaringan beliau bersama Perancis apabila menjaringkan dua gol ketiga juara dunia itu bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Sweden 4-2 dalam aksi Liga Negara UEFA pada Selasa.

Gol Viktor Claesson meletakkan Sweden di hadapan pada perlawanan tanpa penonton di Stade de France tetapi Giroud mengikat kedudukan tidak lama selepas itu dan Benjamin Pavard meletakkan Perancis di hadapan buat kali pertama sebelum rehat.

Giroud menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga pasukannya dari satu umpanan Kylian Mbappe pada awal separuh masa kedua untuk menambah koleksi 44 gol dari 105 penampilan bersama Perancis.

Kingsley Coman melengkapkan jaringan Perancis selepas Robin Quaison menjaringkan gol kedua Sweden.

Selepas memintas Michel Platini (41 gol) bersama Perancis, Giroud menghampiri rekod gol  terbanyak Perancis sebanyak 51 gol yang dicipta oleh Thierry Henry.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak begitu popular dalam skuad Perancis tetapi kekal sebagai pemain penting buat jurulatih Perancis, Didier Deschamps walaupun jarang diturunkan di kelabnya, Chelsea, di mana beliau hanya bermain satu perlawanan musim ini dalam Piala Liga Inggeris.

“Saya sudah biasa diherdik dan dicemuh. Ia adalah sebahagian dari pengalaman, kerjaya saya tetapi ia hanya menjadikan saya lebih kuat,” kata Giroud.

Perancis sudah mengesahkan tangga teratas Kumpulan A3, di hadapan juara bertahan kejohanan, Portugal dan mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir kejohanan yang akan berlangsung pada bulan Oktober tahun hadapan.

Sweden pula kekal di tangga tercorot, di belakang Croatia dan akan disingkirkan ke Liga B pada edisi akan datang.

Mereka datang ke Paris tanpa jurulatih Janne Andersson, yang menjalani kuarantin selepas diuji positif COVID-19 tetapi mereka membuka jaringan apabila rembatan Claesson terkena pemain Perancis, Raphael Varane dan masuk ke pintu gol.

Bagaimanapun, Marcus Thuram mengumpan  bola kepada Giroud untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-16.

Thuram sekali lagi terlibat dalam gol kedua apabila beliau melakukan larian pada minit ke-36 sebelum melorong bola kepada Pavard untuk menjaringkan gol antarabangsa kedua beliau.

Tidak diturunkan pada dua perlawanan terakhir selepas dipanggil walaupun mengalami kecederaan ketika bermain bersama kelabnya, Paris Saint Germain, Mbappe menggantikan Thuram pada awal separuh masa kedua dan dalam tempoh seminit, beliau mengumpan bola kepada Giroud untuk kedudukan 3-1.

Quaison menghidupkan harapan Sweden apabila merapatkan kedudukan pada minit ke-88 tetapi mereka gagal mencari gol penyamaan yang akan mengekalkan mereka dalam Liga A dan Coman mengesahkan penyingkiran mereka ke Liga B apabila melengkapkan jaringan buat Perancis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here