Malaysia Airlines- wajar dikekalkan?

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, ada ahli politik dan ahli Parlimen berpendapat MAB adalah aset nasional yang memainkan peranan penting dalam membawa imej negara di persada dunia.

Justeru, beliau secara peribadi berpendapat masih ada keperluan mempertimbangkan untuk mengekalkan MAB dalam negara ini.

“Pada masa sama wajar diberikan satu laporan penuh di Parlimen tentang turnaround plan Khazanah yang dulu, yang menelan belanja berbilion ringgit agar kita dapat teliti dulu apa yang berlaku pada waktu itu.

“Kita juga boleh melihat kelemahan dari segi pengurusan. Kita tahu dan kita sedar 2021 dan 2022, pasti keadaan ekonomi mencabar tetapi peluang tetap ada untuk syarikat termasuk MAB.

“Mungkin MAB mencari jalan kembangkan atau beri imej baru serta menilai daya tahan ekonomi syarikat tersebut dengan memberi fokus kepada kekuatan yang ada pada jenamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan berita mendakwa syarikat penerbangan nasional itu akan memohon dana kepada kerajaan, dikatakan jumlahnya melibatkan bilion ringgit.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula menegaskan, kerajaan perlu mendapatkan maklumat secara menyeluruh terhadap masalah dihadapi syarikat itu.

Tegas beliau, sudah beberapa kali proses pemulihan MAB gagal dan beliau mencadangkan sebuah suruhanjaya bebas perlu dibentuk bagi menilai keadaan syarikat tersebut.

“Kalau suruhanjaya itu kata tak boleh nak buat apa, perlu tutup jadi itu terpulang kepada mereka tetapi apa pun keadaan, kita tak boleh abaikan kakitangan MAB.

“Saya lebih melihat kepada kakitangan MAB diselamatkan. Kalau ada alternatif bagaimana untuk selamatkan kakitangan MAB daripada hilang pekerjaan, saya fikir itu merupakan satu langkah bijak,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bukan perkara pelik syarikat penerbangan nasional memohon bantuan kerajaan kerana ia turut berlaku melibatkan syarikat di negara lain.

Begitupun, katanya, MAB tidak harus bergantung kepada dana kerajaan untuk pemulihan tetapi budaya kerja, operasi dan penstrukturan perlu dilakukan secara menyeluruh untuk pastikan segala operasinya berjalan dengan efisien.

“MAB harus memikirkan model perniagaan mereka dan tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan dan memikirkan bagaimana untuk pendapatan mereka boleh dipelbagaikan.

“Bukan hanya tumpu kepada penerbangan, mungkin dalam bentuk hospitaliti, pelancongan atau perkhidmatan kewangan yang sesuai untuk dilaksanakan dengan mengambil kira kekuatan aset dan tenaga kerja MAB,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here