Pupuk kesedaran cintai sungai

Pewujudan Friends of River (FoR) membuktikan komitmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memupuk kesedaran dan rasa cinta masyarakat terhadap sungai di negeri ini.

Pemangku pengarahnya (ketua penolong pengarah bahagian pengurusan lembangan sungai dan pantai) berkata inisiatif itu bukan sahaja melindungi sungai daripada tercemar malah memanfaatkan komuniti setempat.

“Pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan di bawah FoR dengan masing-masing menggerakkan usaha sendiri melalui aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran sungai.

“Kita percaya komuniti sungai akan mendapat manfaat kerana kawasan sungai itu boleh digunakan untuk beriadah dan melakukan aktiviti bersama keluarga,” kata Haslina Amer pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar?

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pihak bersama-sama menjaga kebersihan sumber air mentah demi kepentingan generasi akan datang.

“Tanggungjawab memelihara sungai bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan mahupun agensi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Pada 25 Januari 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pewujudan Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-Sungai di Selangor yang dipengerusikan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Luas sebagai urusetia.

Salah satu inisiatif pemuliharaan sungai yang diperkenalkan melalui jawatankuasa ini adalah pewujudan FoR di setiap sungai negeri ini.

Sehingga kini, sebanyak 40 FoR ditubuhkan di 40 anak sungai yang menjadi ‘mata’ Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan persekitaran sungai bersih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here