Sungai Melayu Pulih Sepenuhnya Daripada Ledakan Algae

Ledakan algae melibatkan keluasan kira-kira 20 kilometer dari Sungai Melayu sehingga ke perairan Pendas yang mencetuskan kebimbangan komuniti nelayan pada 11 Nov lalu kini telah pulih sepenuhnya berikutan faktor air pasang besar dan hujan hampir setiap hari sejak kebelakangan ini.

Pengarah Perikanan Negeri Johor Noraishah Hashim berkata hasil kajian kualiti air yang diambil pada 16 Nov lalu juga kembali normal berbanding bacaan pertama iaitu pada 12 Nov yang menunjukkan terdapat kandungan nitrat dan fostat yang tinggi.

Katanya, hasil kajian juga menunjukkan bahawa algae jenis diatom itu adalah merupakan spesis ‘Guinardia’, iaitu spesis yang tidak bertoksik kepada hidupan akuatik seperti ikan, ketam dan kerang-kerangan.

“Hasil daripada pemerhatian, kita dapati perairan ini telah pulih kepada keadaan asal… iaitu tiada lagi kelihatan ledakan algae (plankton).

“Perubahan ini dapat dilihat dalam masa dua hingga tiga hari selepas sampel pertama air diambil iaitu pada 12 Nov lalu. Saya boleh simpulkan keadaan ini telah pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Melayu, di sini, hari ini.

Noraishah berkata pihaknya juga tidak lagi menerima aduan daripada nelayan setempat berhubung perkara itu.

Beliau berkata kebarangkalian kejadian ledakan algae berlaku adalah bergantung kepada kandungan nutrien yang terdapat dalam perairan.

“Sekiranya berlaku sekali lagi pengkayaan nutrien di perairan ini, ia akan berlaku lagi. Ini disebabkan algae itu memang ada di perairan ini cuma ia akan berlaku ledakan atau tidak bergantung kepada nutrien-nutrien yang terdapat di perairan,” katanya.

Pada 13 Nov lalu, pihaknya telah turun padang melakukan tinjauan berikutan aduan komuniti nelayan serta penduduk di Kampung Sungai Melayu tentang kemunculan tompokan hijau seperti lumut terapung di permukaan air di tepi sungai, yang didakwa menimbulkan bau busuk, hanyir, serta menyebabkan kegatalan jika terkena pada kulit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here