Mini Stadium Ffira Mikah: Papan Tanda Diturunkan

Papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah di sebuah stadium di Kuala NeranG di sini diturunkan selepas penggunaan nama yang didakwa bersempena nama pegawai daerahnya itu menerima kecaman pelbagai pihak.

KN Kiara Football Club menerusi akaun Facebooknya berkata, papan tanda tersebut telahpun diturunkan.

“Sehubungan itu, KN Kiara Football Club selaku penyewa stadium mini itu juga memutuskan untuk tidak menggunakan nama Ffira Mikah dalam apa-apa tujuan dan promosi.

“Buat sementara, pihak kami menyebut sebagai Stadium Mini Kuala Nerang sehingga mendapat makluman terkini daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kelab berkenaan menerima sekiranya terdapat nama baharu untuk stadium itu.

“Moga nama stadium mini itu nanti  lebih bercirikan kawasan Kuala Nerang dan daerah Padang Terap (sekadar cadangan),” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, katanya, kelab bola sepak itu diberi kepercayaan menguruskan dan menyelenggara stadium tersebut mulai 1 Disember lalu.

“Stadium mini ini adalah milik PBT dan disewakan kepada pihak KN Kiara Football Club bagi tujuan menjalankan program pembangunan bola sepak akar umbi serta pelbagai aktiviti sukan bola sepak,” jelasnya.

Tambahnya, soal nama stadium dan urusan menaik taraf adalah urusan PBT.

Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap dan Majlis Daerah Padang Terap menerusi akaun Facebooknya turut berkongsi kenyataan KN Kiara Football Club berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Hakim Ariff menyangkal dakwaan yang tular bahawa beliau menamakan Stadium Mini di daerah itu sempena dengan namanya yang diterbalikkan.

Beliau dilaporkan berkata nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran selain ia mempunyai maksud gabungan antara bahasa Sepanyol atau Greek serta bahasa Arab.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Kedah akan meminta penjelasan daripada Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) berhubung penggunaan nama pegawai daerahnya pada sebuah stadium mini di sini.

Perkara itu tular dalam media sosial apabila didakwa menggunakan nama pegawai daerah kawasan itu secara terbalik sekali gus dipersoalkan oleh netizen. 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here