Lombong REE 3 kali ganda bahaya kepada bekalan air Ulu Muda

Perlombongan unsur nadir bumi atau ‘rare earth elements’ (REE) di kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah menimbulkan ancaman tiga kali ganda terhadap keselamatan bekalan air di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

Malah ancaman perlombongan REE di kawasan tadahan air terpenting Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) tersebut boleh mengakibatkan kemusnahan alam sekitar, pencemaran tanah dan air serta kontaminasi air mentah.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

 “Perlombongan REE bernilai RM60 billion pasti akan melibatkan pembukaan tanah berskala besar dan penebangan pokok untuk menjalankan operasi perlombongan di persekitaran hutan hujan yang asal.

“Operasi perlombongan untuk mengekstrak dan memproses REE akan menyebabkan pencemaran dan menghasilkan sisa yang akan meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah yang berdekatan.

“Perlombongan dan pengekstrakan REE melibatkan bahan kimia toksik dan rawatan pelogaman untuk memisahkan REE dari tanah yang digali, termasuk mandian asid dan kolam pencucian serta hujan boleh menyebabkan toksin dan bahan kimia dibawa ke dalam Sungai Muda dan anak-anak sungainya, ” ujar beliau.

Sehubungan itu kata Jaseni, perlombongan REE di Ulu Muda merupakan ancaman yang lebih berbahaya bagi keselamatan bekalan air di NCER darpada pembalakan.

Tambahnya lagi, perlombongan REE sepertimana yang direncanakan oleh Kedah membahayakan sumber bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta perlu diingat bahawa ianya mempunyai kaitan langsung dengan kesejateraan dan kesihatan rakyat.

Menurutnya, China sebagai pengeluar REE terkemuka di dunia juga tidak melombong REE di kawasan tadahan air, malahan China Urban Water Blueprint 2016 tidak melaporkan sebarang kes perlombongan REE di 135 tadahan air untuk 30 bandar paling pesat berkembang di China.

Tegas beliau lagi, tiada negara didunia termasuk China menganggap perlombongan REE sebagai aktiviti ekonomi mesra alam dan tiada siapa yang dapat menafikan perlombongan REE menyebabkan masalah ketoksikan tanah serta air yang serius di kawasan pengeluaran.

Sejajar dengan itu saran Jaseni, KASA dan kerajaan Pusat tidak harus membenarkan perlombongan REE di Ulu Muda serta Malaysia mesti mengelakkan bencana yang akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan aktiviti sosio ekonomi di NCER.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here