Sanggup Bersabung Nyawa Redah Laut Balik Kampung

Gara-gara tidak cukup wang, seorang lelaki tekad berenang dari perairan Kalimantan ke Pulau Jawa untuk pulang ke kampung halaman.

Dedik Purnomo, 27, ditemukan terapung terumbang-ambing di sekitar pelabuhan Semayang, Balikpapan dengan berpaut pada dua tong plastik air kosong sebagai pelampung dalam satu kejadian baru-baru ini.

Menurutnya, dia ketika itu dalam perjalanan mahu pulang ke kampungnya di Malang, Jawa Timur dan terpaksa berbuat demikian atas kekangan wang untuk menaiki kapal.

“Saya tidak ada wang, tuan. Sudahnya saya berenang saja. Wallahualam saja kalau selamat sampai di sana,” akuinya setelah diselamatkan oleh pihak polis.

Difahamkan, Dedik yang menetap di Rengganis, Balikpapan Selatan itu tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan ekoran dia tidak bekerja.

“Tidak ada pekerjaan tuan. Makanya duitnya pun tiada,” jelasnya lagi.

Menurut laporan, pada awalnya perbuatan Dedik masuk ke dalam air bersama dua tong tersebut disedari beberapa nelayan lain di pelabuhan itu.

Bagaimanapun, perbuatannya itu dianggap tidak mencurigakan kerana memang ada sesetengah pemancing atau nelayan akan berbuat perkara sama untuk tujuan memancing.

Sehinggalah Dedik mulai berenang berlahan-lahan meninggalkan kawasan pelabuhan ke tengah laut, barulah nelayan-nelayan tersebut sedar akan sesuatu yang tidak kena berlaku.

Mereka menjerit-jerti memanggilnya namun jeritan tersebut tidak diendahkan, malah Dedik tekad mahu meneruskan renangannya.

Namun, usaha Dedik menjadi sia-sia kerana dia mengalami keletihan, akhirnya renangannya terhenti dan dia terapung terumbang-ambing di kawsan tersebut.

Sejurus kemudian, pihak polis tiba di tempat kejadian dan Dedik berjaya diselamatkan.

Setelah dibawa ke balai polis, Dedik mendakwa, idea untuk berenang dari pelabuhan Balikpapan ke Pulau Jawa itu hanyalah terfikir secara spontan sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here