Georgetown, Feb 19.
Seorang pembantu pejabat didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan termasuk memukul dan mencederakan ibunya menggunakan rotan.
Satu pertuduhan terhadap Poh Lee Aik, 45, dibacakan dihadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim di Mahkamah Sesyen manakala tiga lagi pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin dan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien dan Mandarin.
Pembantu pejabat itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap ibu kandungnya berusia 69 tahun dengan cara memukul kepala serta badan mangsa menggunakan rotan secara berulang kali.





















