Canggih tawar potongan harga 35 peratus kepada frontliners

Pengilang dan pembekal pakaian seragam serta peralatan sekolah jenama Canggih, Kumpulan My-Sutera menawarkan potongan harga sebanyak 35 peratus kepada semua frontliners untuk membantu meringankan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Tawaran berkenaan bermula pada 1 Januari hingga 31 Januari 2021 sebagai menghargai petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan My-Sutera, Masnizam Hisham berkata, pemberian diskaun berkenaan diberikan untuk pembelian dalam talian menerusi schoolmall.com.my dengan menggunakan kod QR dan pautan khas yang dibekalkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 30 Disember lalu.

“Pemberian potongan harga ini diadakan sempena sambutan ulang tahun Canggih yang ke-25. Canggih bekerjasama dengan MKN untuk berkongsi dengan seluruh anggota frontliners yang telah bertungkus lumus memastikan rakyat Malaysia dilindungi daripada wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Masnizam mengetuai delegasi My-Sutera menyerahkan kod QR dan pautan berkenaan kepada Ketua Penolong Pengarah, MKN, Azila Shafie dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabat MKN, Putrajaya.

Tambahnya, mereka yang membeli menggunakan kod QR atau pautan itu turut mendapat kemudahan penghantaran terus barangan keperluan sekolah ke rumah.

“Antara kategori barangan yang disediakan di dalam schoolmall.com.my ialah pakaian sekolah dan kokurikulum, buku sekolah daripada penerbit terkenal di Malaysia, kasut, beg sekolah, pakaian sukan, botol air dan bekas makanan, alat tulis dan keperluan pelajar beragama Islam seperti telekung dan jubah,” katanya.

Mengulas lanjut, Masnizam berkata, schoolmall.com.my merupakan satu platform membeli-belah dalam talian melibatkan pelbagai vendor yang menawarkan barangan kelengkapan persekolahan.

“Sejak pandemik Covid-19, platform ini cukup popular dan pelajar sendiri sudah biasa membuat pembelian dalam talian. Canggih mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 250 peratus pada musim kembali ke sekolah pada tahun 2020 berbanding 2019.

“Kami yakin pembelian dalam talian meningkat lebih ketara pada tahun 2021 kerana pandemik Covid-19 mempercepatkan trend ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here