Dari litar lumba, Wazi kini pengedar telur masin

Bermula dengan pertemuan mendapatkan bekalan untuk penyediaan makanan bagi petugas barisan hadapan Covid-19 pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bekas jaguh cub prix negara Wazi Abdul Hamid kini bergelar usahawan telur masin.

Wazi, 50, berkata beliau tertarik dengan potensi produk keluaran Bumiputera daripada Projek Ladang Integrasi Sosial milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu selepas bertemu dengan pengeluar yang mendermakan telur masin tersebut sebagai sokongan terhadap usaha kebajikan.

“Saya kemudian dilantik sebagai pengedar selepas berjaya menjual ribuan telur masin jenama Pegro berkenaan memandangkan saya mempunyai ramai kenalan dalam aktiviti permotoran,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang pengeluaran telur masin itu di Tanjung Tualang di sini.

Wazi yang bersara daripada sukan permotoran pada 2006 berkata beliau kemudian menjenamakan semula telur masin itu kepada ‘Telur Masin Wazi’ namun masih dijual pada harga yang disyorkan PPPNP iaitu RM35 sekotak mengandungi 50 biji dan RM5 bagi pek empat biji.

“Kebanyakan tempahan dihantar sendiri oleh saya dengan caj penghantaran hanya RM5 walaupun ke negeri-negeri lain,” katanya, menambah sehingga kini beliau telah menjual 400 kotak mengandungi 20,000 biji telur masin di sekitar Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

Beliau berkata setakat ini Telur Masin Wazi hanya boleh ditempah secara dalam talian menerusi akaun Facebook miliknya selain turut ditempatkan di Global Ikhwan di Rapat Setia dan kedai menjual produk makanan keluaran Muslim di Meru, Ipoh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here