‘Perabot banjir’

Banjir yang melanda daerah ini memaksa peniaga perabot melelong pelbagai barangan isi rumah dan perabot dengan harga murah serendah RM10.

Seorang peniaga, Eng Nyok Peng, 52, berkata langkah itu terpaksa diambil kerana rata-rata perabot di premisnya di sini, ditelenggami banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat lepas.

“Saya tiada pilihan lain….daripada tidak dapat apa-apa (rugi), baiklah barangan ini dijual dengan harga murah,” katanya.

Katanya, disebabkan banjir, banyak barangan perniagaannya terjejas hingga mengakibatkan kerugian antara RM70,000 hingga RM80,000.

Menurut Eng, antara perabot yang dilelong murah di premisnya termasuk kerusi, katil, almari kasut, almari baju dan rak televisyen.

“Saya jual murah…RM10 ada, RM50 ada dan lain-lain. Mungkin sampai sebulan saya akan jual barang-barang ini (dengan harga diskaun),” kata Eng yang sudah sembilan tahun berniaga di bandar itu.

Seorang pengunjung, Rizuan Mat Seman, 25, berkata beliau teruja untuk membeli ‘perabot banjir’ yang dilelong itu, sekiranya harganya berpatutan dan kerosakannya tidak teruk.

“Saya datang untuk tengok-tengok dahulu mana barangan yang masih boleh dipakai. Harga di sini pun murah dan berpatutan jadi saya sedikit teruja,” katanya yang mendapat tahu mengenai jualan terbabit daripada media sosial dan rakan-rakan.

Bagi Noratikah Zahid, 31, pula jualan lelong itu merupakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan perabot baharu, terutama selepas kediaman masing-masing turut dilanda banjir.

“Rumah kami turut dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa perabot rosak. Jadi apabila ada jualan murah seperti ini, dapatlah kami ganti mana yang patut,” katanya yang juga menjalankan perniagaan bersama ibunya.

Sementara itu, di pusat bandar ini turut mendapati peniaga sedang rancak membersihkan premis mereka daripada kesan lumpur akibat banjir sebelum memulakan kembali operasi perniagaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here