No Anwar, No DAP Tapi Kenapa Zahid? -Tun Faisal

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz tampil mempersoalkan tindakan pimpinan tertinggi UMNO yang disifatkan tidak selari dengan pendirian parti iaitu No Anwar,No DAP.

Beliau menyokong tindakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini mempertahankan dasar perjuangan parti.

“Saya telah membaca kenyataan akhbar Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan. Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, saya tidak mempersoalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Malah itulah yang dilaksanakan oleh Tan Sri Annuar Musa, iaitu mempertahankan keputusan dasar parti, iaitu bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga pendirian “No Anwar, No DAP,” jelas Tun Faisal yang juga merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Beliau bagaimanapun mempertikai situasi semasa yakni dasar parti jelas No Anwar, tapi kenapa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tandatangan surat sokong dan setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

“Dasar parti juga jelas, No DAP tapi kenapa Pengarah Pilihanraya, Datuk Seri Tajudin Rahman dan Ahli MKT seolah-olah menjadi jurucakap DAP dan membawa Jajaran Politik Baru yang digambarkan akan melibatkan Anwar, PKR dan DAP,” soal beliau.

Terdahulu, Shahril menafikan spekulasi bahawa wujud rundingan kerjasama antara UMNO dan DAP di sebalik tabir.

Bahkan, katanya, jika UMNO mahu menjalin kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran Menteri Besar Perak, namun perkara itu tidak berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here