Apa Muhyiddin dapat buat dengan kuasa mutlaknya, soal Mahathir

Peningkatan mendadak kes Covid-19 dijadikan alasan untuk “rampasan kuasa” melalui pengisytiharan darurat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apa yang dapat dilakukan Perdana Menteri dengan kuasa mutlaknya untuk menyelesaikan krisis kesihatan ini?

“Bolehkah Perdana Menteri, dengan kuasanya memenjarakan orang hingga 10 tahun dan menjatuhkan denda RM5 juta dapat mengurangkan jumlah kes?” soalnya dalam catatan di blognya hari ini.

 Beliau berpendapat “kuasa mutlak” yang diberikan kepada penggantinya Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan proklamasi darurat akan menyebabkan berlaku “pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa”.

“Pengisytiharan darurat telah memberikan kerajaan kuasa yang luar biasa. Semua yang dilakukan adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka tidak boleh dipersoal, dan juga tidak boleh dibawa ke Parlimen kerana semua persidangan telah dibatalkan. Kedaulatan undang-undang telah dihapuskan,” kata Mahathir.

Darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal jika kes positif Covid-19 dapat dikawal.

Proklamasi darurat diisytiharkan ketika jangkitan Covid-19 melepasi 3,000 kes setiap hari dengan jumlah hingga 12 Januari lalu mencecah 141,533 kes dan 559 kematian.

Dalam masa sama, Mahathir dalam catatan di blognya menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin telah hilang majoriti dan hak mentadbir.

Oleh sebab itu, kata Ahli Parlimen Langkawi tersebut, hanya melalui perisytiharan darurat “kerajaan minoriti” memperoleh kuasa untuk memerintah.

Untuk rekod, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hilang majoriti apabila hanya memiliki sokongan 109 daripada 220 Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, Mahathir menyifatkan darurat tidak perlu dilaksanakan sejak awal kerana kerajaan telah mempunyai kuasa dan rakyat Malaysia telah mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Kita bukan seperti negara-negara Barat yang liberal di mana rakyat secara terbuka tidak mematuhi arahan kerajaan yang mendakwa bahawa hak dan kebebasan mereka telah diabaikan,” tambahnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here