Tiga ditahan rosak barang kedai makan

Tiga lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan kes merosakkan barang-barang dalam  sebuah kedai makan di Jalan Pinang Laka, di sini.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Awang Arfian Awang Bujang berkata ketiga-tiga lelaki ditahan setelah menerima laporan seorang peniaga wanita, 40, melaporkan premisnya dirosakkan oleh suspek terbabit.

“Lebih kurang jam 8.47 pagi di salah sebuah kedai makan milik mangsa di Jalan Pinang Laka di sini, dua suspek masuk ke dalam kedai lalu merosakkan barang-barang di kedai makan itu menggunakan kayu dengan mengatakan kedai itu tidak boleh dibuka.

“Dua suspek berjaya ditangkap polis jam 3.15 petang dan jam 5.28 petang manakala seorang lagi suspek ditangkap malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi media di sini semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sekitar RM3,000.

Menurut Awang Arfian, siasatan awal mendapati kejadian itu mempunyai kaitan dengan masalah hutang antara mangsa dengan rakan kongsinya.

“Dua daripada suspek ditangkap tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi yang berusia 57 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis kini memohon proses tahanan reman bagi suspek-suspek terbabit daripada mahkamah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here