Kuala Lumpur, Jan-
Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan dua tahun, awal bulan ini.
Pekerja kilang D. R. Thevagaran dan dua pengganggur M. Haris dan V. Durga Nanthini yang semuanya berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik kanak-kanak berkenaan daripada penjaganya yang sah di tepi Jalan Pandan Indah 1/1, Taman Maju Jaya, di bawah jejambat E9, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 6.30 petang, 4 Jan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala peguam Lingswaran Singh mewakili Thevagaran dan Haris. Durga Nanthini pula diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ernie Ahmad.




















