Parti Liar di Hotel Mewah

Sembilan individu termasuk empat remaja perempuan sanggup menyewa bilik di sebuah hotel mewah di Machang Bubok, Bukit Mertajam tengah malam tadi hanya untuk berparti liar bagi menyambut hari lahir.

Semua mereka berusia 16 hingga 24 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam tadi hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti tidak bermoral kumpulan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Mohd Ra’ais, berkata semua mereka yang ditahan juga didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

“Kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah(SPT) di sini untuk proses dokumentasi dan ujian saringan air kencing untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya setiap seorang yang ditahan itu turut dikompoun RM1,000 kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pelaksanaan PKP ketika ini.

Difahamkan mereka berparti di situ untuk menyambut hari lahir seorang daripada yang ditahan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here