111 dapat datuk satu lagi cara beli kesetiaan, dakwa bekas menteri Wilayah

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyifatkan tindakan bekas kementerian beliau memberikan 111 gelaran ‘datuk’ sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini sebagai usaha membeli kesetiaan.

“Itulah pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Berikan lantikan jawatan menteri, timbalan menteri, GLC dan kini berikan anugerah…. semua ini bagi saya untuk beli kesetiaan,” kata Khalid dalam sessi wawancara dengan beliau menerusi TV internet Jom Channel malam tadi.

Khalid mengulas berita seramai 111 menerima gelaran datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini berbanding hanya 28 sahaja mendapat gelaran itu pada tahun lepas ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara.

Dari 111 itu, enam orang diberikan gelaran Datuk Seri Utama, 24 Datuk Seri dan 81 Datuk.

“Bagi saya ini kerosakan yang terhasil dari budaya ini.

“Kita beri anugerah dan pingat kepada orang yang lama dan betul-betul berkhidmat bukan selepas setahun atau enam bulan, terus dapat anugerah, pingat dan sebagainya,” kata beliau.

Namun begitu, Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata, ia tetap hak Menteri Wilayah Persekutuan sekarang untuk memberikan anugerah itu.

“Tetapi itu hak masing-masing, tetapi ia akan mendatangkan kesan yang kurang baik bagi saya,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Namun Khalid mengucapkan tahniah kepada yang benar-benar berjasa dan mendapat pengiktirafan dari Kementerian Wilayah Persekutuan itu.

Menurut beliau, ada pengarah-pengarah di DBKL misalnya yang sememangnya bekerja sejak sekian lama.

“Alhamdulillah mereka memberikan khidmat dalam tempoh yang lama dan diberikan anugerah kerana khidmat mereka,” kata beliau.

Bagi Khalid, untuk mereka yang hanya baru berkhidmat dan mendapat anugerah ini, mungkin kerana khidmat mereka tidak kelihatan.

“Mungkin kerana banyak yang memberikan perkhidmatan sepanjang tahun 2020 walaupun masa itu musim Covid-19 sebab mereka bekerja dari rumah.

“Tetapi yang peliknya, baru je muncul, sebelum ni tak beri apa-apa sumbangan tiba-tiba dapat anugerah.

“Kita khuatir adanya budaya berpolitik dan anugerah ini menjadikan pingat dan anugerah hilang nilainya.

“Ramai sangat, mudah sangat…. tetapi mungkin ianya tindakan dilakukan menteri WP untuk mengekalkan kesetiaan dengan memberikan pingat itu dan mereka merasa terhutang budi dan sebagainya,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here