Kurangkan impak Covid-19, komuniti nelayan ternak ketam nipah

Sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada komuniti nelayan di Kubang Badak, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Kuah.

Tidak mahu terlalu ‘bersedih’ dengan keadaan tersebut, mereka segera menceburi bidang penternakan ketam nipah sebagai satu lagi cabang pendapatan buat koperasi tersebut.

Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Langkawi Berhad, Rusasmizal Mohd Ghazali berkata, projek ternakan ketam nipah itu bermula sejak Mac tahun lalu, apabila sebuah kolam dibina di sebidang tanah seluas 0.2 hektar milik seorang anggota koperasi tersebut.

“Ketam nipah mengambil masa 90 hari sebelum sesuai untuk dijual yang mana setiap seekor daripadanya boleh mencecah berat lebih 500 gram seterusnya dijual pada harga RM40 hingga RM70 sekilogram mengikut saiz.

“Sejak beroperasi hampir setahun sudah tiga kali kami tuai hasilnya, dengan nilai jualan dianggarkan kira-kira RM8,000,” katanya.

Sebagai rekod, koperasi yang dianggotai 72 ahli itu menawarkan pakej menelusuri sungai hutan paya bakau bagi melihat 12 geotapak yang memiliki keunikan warisan geologi, biologi dan budaya di Biogeotrail Kubang Badak, namun kini pendapatan koperasi tersebut terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Rusasmizal mengakui nilai kos yang dikeluarkan kira-kira RM60,000 itu belum beri pulangan, namun tetap optimis dengan potensi besar yang dimiliki projek tersebut.

“Ketika ini jualan tertumpu kepada penduduk tempatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan.

“Selain jualan terus kepada pelanggan, kami sedang membina jenama ‘Mi Ketam Kubang Badak’ supaya pada masa akan datang pelancong yang datang ke Kubang Badak wajib singgah mencuba hidangan yang ditawarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here