Bantuan makanan ke rumah panjang di Bintulu

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan misi bantuan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas kepada dua penempatan rumah panjang di Bintulu, Sarawak.

TUDM dalam kenyataan semalam memaklumkan penghantaran bantuan tersebut susulan sekatan pergerakan 14 hari dikenakan kepada penduduk rumah panjang Ugop Ak Umpin dan Rh Saba Ak Mergi bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Sarawak sehingga mengakibatkan mereka terputus bekalan makanan.

Menurutnya, helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron bertanggungjawab melaksanakan tugas tersebut membabitkan penghantaran 2,880kg bekalan makanan dan keperluan asas seperti beras, sardin, mi segera, telur, gula, garam dan minyak diesel.

“Operasi diketuai juruterbang TUDM Megat Suhaide Megat Daud dibantu pembantu juruterbang, Shamie Hazim Samsu dan Kuartermaster Udara Zakaria Othman serta tiga anggota kejuruteraan.

 “Mereka melaksanakan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas diambil dari tempat pengumpulan barang bantuan di Lapangan Terbang Bintulu dan seterusnya diterbangkan ke lokasi penempatan rumah panjang itu dalam misi bermula 10 pagi sebelum selesai sepenuhnya pada 1 tengah hari membabitkan dua penerbangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, misi bantuan yang dilaksanakan TUDM itu adalah usaha sama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak yang diwakili Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing bersama Kementerian Pertahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here