Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 858

Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 858 orang daripada 258 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 718 orang pada jam 4 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia berikutan peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah dan PPS Dewan Masyarakat Stapok di Kuching.

“Kesemua mangsa banjir yang terjejas di tiga daerah iaitu Kuching, Lundu dan Kota Samarahan kini ditempatkan di 12 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, di Kuching jumlah mangsa tertinggi adalah di SJKC Chung Hua Sungai Tengah melibatkan 223 orang, Dewan Sinar Budi Baru (144) dan Dewan Masyarakat Stapok (88).

“Sementara di Lundu jumlah mangsa kekal dengan 19 orang di Balai Raya Kampung Paon dan 64 orang di SK Paon Temaga.

“Manakala daripada 320 mangsa di Samarahan, 160 ditempatkan di Dewan Masyarakat Kampung Pangkalan Kuap, Dewan Suarah Kota Samarahan (48), Dewan Serbaguna Kampung Entingan (47), dan Balai Raya Kampung Sungai Empit (35).

“Selain itu, 13 mangsa di Balai Raya Kampung Nangka, Balai Raya Kampung Merdang Lumut (11) dan Surau Kampung Bukit Berangan (6),” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here