Pengusaha van tak sabar tunggu sekolah dibuka

Berita mengenai pembukaan semula sesi persekolahan pada 1 Mac depan bagaikan “cahaya di hujung terowong” kepada pasangan pengusaha van sekolah yang memutuskan untuk pulang ke kampung selepas hampir setahun terjejas pendapatan.

Tuan Ismail Raja Mat dan isterinya Norhayati Muda yang kedua-duanya mengusahakan van sekolah selama lebih 30 tahun menyambut baik keputusan Putrajaya untuk membuka kembali sekolah selepas ditutup akibat peningkatan kes Covid-19 yang menyaksikan kes mencecah empat angka secara konsisten sejak Disember lalu.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana penantian yang ditunggu akhirnya tiba. Sukar untuk digambarkan bagaimana perasaan apabila berpeluang untuk bekerja semula,” kata Norhayati.

Minggu lepas kementerian pendidikan mengumumkan murid pra sekolah dan sekolah rendah akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac selepas ditutup dalam satu tempoh waktu akibat pandemik Covid-19.

Menurut kementerian pendidikan, murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac manakala murid Tahun 3,4, 5 dan 6 akan memulakan sekolah seminggu selepas itu.

Bagi murid sekolah menengah, sekolah akan bermula pada 4 April kecuali bagi murid Tingkatan 5 yang akan memulakan sekolah pada 8 Mac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here