Alasan timbalan menteri pergi bercuti ke New Zealand

Tindakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan mengambil cuti untuk menziarahi keluarganya di New Zealand selama 55 hari mendapat kecaman pelbagai pihak.

Turut mendapat kecaman adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan cuti beliau itu kerana alasan cuti yang diberikan adalah sangat remeh dan tidak memerlukan sehingga 55 hari bekerja.

Fakta bahawa beliau boleh memasuki New Zealand ketika syarat yang dikenakan oleh kerajaan negara pimpinan Jacinda Ardern sangat ketat untuk memasuki negara itu juga menimbulkan persoalan.

Fakta ini menjuruskan kepada persoalan, apakah beliau mempunyai ‘pemestautin tetap’ (permanent residency – PR) sehingga membolehkan beliau memasuki negara itu ketika syarat kemasukan diperketatkan ketika Covid-19 melanda dunia.

“Saya tidak boleh pergi ke Batam, atau melawat ibu mertua dan keluarga isteri saya di Padang. Lihat apa alasan dia ke sana,” tulis seorang peguam terkenal di Johor dalam perbincangan kumpulan Whatsapp mengenai kes ini.

Rakan beliau, juga seorang peguam yang pernah menjadi pegawai kanan bekas seorang menteri besar menjawab, “Bagi saya ini kesan bila PM yang lemah. PM sangat memerlukan SD dia kerana majoriti tak cukup. SD dah cukup, tak perlu kerja. Rakyat yang bayar gaji, bukan PM.”

Zulhazmi Sharif, bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini mempunyai pandangan yang menarik mengenainya.

Menurut pengamal undang-undang atau peguam itu, ada tiga persoalan yang berlegar sekitar isu ini.

Pertama, bagaimana seorang timbalan menteri yang belum cukup setahun sudah layak bercuti untuk tempoh itu.

Kedua, bagaimana timbalan menteri boleh dibenarkan rentas negara ke New Zealand dalam keadaan warga tidak boleh rentas daerah dan rentas negeri sehinggakan rentas rumah pun tidak digalakkan.

Ketiga, bagaimana timbalan menteri boleh bercuti dalam keadaan negara sedang tenat menghadapi pandemik.

“Aku ada kemungkinan jawapan yang tidak rasmi yang berdasarkan maklumat dalaman di keliling pejabat menteri dan timbalan menteri.

“Yang didengari pada sekitar penghujung tahun lalu, timbalan menteri ini terasa hati dengan menteri. Khabarnya dia sebagai timbalan menteri seolah-olah tidak wujud dan tiada fungsi. Hanya ada jawatan dan bergaji tetapi tiada kerja atau portfolio untuk bekerja.

(Sebenarnya, bukan dia seorang saja tak ada kerja dan tak berfungsi… majoriti Ahli Jemaah Menteri dan timbalan hanya menganga makan gaji buta.)

“Maka khabarnya suatu surat perletakan jawatan dinukilkan kepada menteri dan Perdana Menteri.

“Maka mengadaplah timbalan ke hadapan menteri. Usai mengadap hasilnya tiada perletakan jawatan berlaku.

“Mungkin bercuti ziarah keluarga itu adalah tawaran kepada timbalan untuk tenangkan dulu fikiran.

“Mungkin la.. tapi surat letak jawatan tu khabar kuatnya ada tapi mati hidup balik pun tak akan mengaku..

“Apa pun jua, semuanya jelas menunjukkan mereka di dalam kerajaan sekarang tiada fikiran kepada masyarakat melainkan diri dan kesenangan sendiri,” tulis Zulhazmi menerusi facebook beliau.

New Zealand di bawah Jacinda Ardern diiktiraf sebagai antara negara terbaik di dunia dalam mengawal Covid-19.

Purata harian kes baharu Covid-19 hanya tiga sahaja sekarang ini ketika Malaysia mencecah 2,000 ke 3,000 sehari. Antara sebabnya kerana kawalan yang ketat dikenakan termasuk untuk keluar masuk negara itu.

Antaranya pihak Imigresen negara itu menyenaraikan hanya lapan kategori individu dengan tujuan kritikal yang boleh melakukan perjalanan ke New Zealand semasa sempadan ditutup.

“Anda mungkin dapat melakukan perjalanan ke New Zealand semasa sempadan ditutup jika kami menganggap anda mempunyai tujuan penting untuk melakukan perjalanan,” dipetik dari laman web pihak berkuasa itu.

Antara lapan syarat yang membolehkan sesaorang memasuki negara itu adalah memiliki PR atau Penduduk Tetap negara itu.

Memiliki PR negara asing bermakna sesaorang itu tidak layak untuk menjadi wakil rakyat atau bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.

Bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen pernah dipertikaikan pada 2012 terhadap kelayakan beliau sebagai Menteri Pelancongan apabila mengaku pernah memiliki PR Australia dari tahun 1993-1996.

Ketua Pemuda DAP ketika itu, Anthony Loke mempersoalkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam meletakkan Datuk Seri Ng Yen Yen selaku Menteri Kabinet selepas beliau memiliki Taraf Permastautin Tetap Australia (PR) secara rahsia.

Menteri Pelancongan itu berkata beliau pernah memiliki permastautin tetap Australia untuk menemani suaminya belajar di Australia, tetapi melepaskannya pada tahun 1995 selepas dia menjadi senator.                                                                 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here