Tiga pekerja media ditembak mati di Afghanistan

Tiga pekerja media wanita ditembak mati di Afghanistan, menurut rangkaian TV mereka dalam apa yang kelihatan serangan bersasar yang menggegarkan negara itu.

Wartawan, pemimpin agama, aktivis dan hakim menjadi mangsa gelombang pembunuhan politik, memaksa ramai bersembunyi dan ada juga yang melarikan diri dari negara itu.

Pembunuhan semakin meningkat sejak rundingan damai bermula tahun lepas  antara kerajaan Afghanistan dan Taliban.

Pembunuhan kelmarin berlaku dalam dua serangan berasingan di timur Jalalabad, kata Zalmai Latifi, pengarah Enikass TV, di mana tiga wanita itu bekerja.

“Mereka berjalan kaki dalam perjalanan pulang dari pejabat apabila ditembak,” kata Latifi, menambah ke-semua wanita itu dari jabatan alih suara penyiaran itu.

Zahir Adel, seorang jurucakap hospital wilayah Nangarhar, juga mengesahkan angka kematian.

Kumpulan Daesh (IS) tempatan berkata, pejuangnya melakukan pembunuhan terhadap apa yang mereka gelar “wartawan bekerja untuk salah sebuah stesen media yang setia kepada kerajaan murtad Afghan.”

Pegawai Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS) me-nyalahkan Taliban atas ge-lombang keganasan itu tetapi kumpulan itu menafikan tuduhan tersebut.

Seorang jurucakap Taliban menafikan kumpulan itu terlibat dalam pembunuhan kelmarin.

Pembunuhan berlaku ketika duta khas AS ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad, kembali ke Kabul minggu ini untuk bertemu dengan pe-mimpin Afghan dalam usaha untuk mengembalikan proses perjanjian damai  yang rapuh ketika tarikh akhir pengunduran tentera AS dari negara itu semakin hampir.

Kehadiran Khalilzad meraikan kali pertama beliau kembali ke Afghanistan sejak Presiden AS Joe Biden mengambil laih jawatan pada Januari lalu dan meminta beliau untuk mengekalkan jawatannya.

Pentadbiran bekas presiden AS, Donald Trump, mahu menamatkan perang paling lama AS, mengarahkan diplomat veteran itu untuk berunding dengan Taliban, yang berakhir dengan satu perjanjian ditandatangani di Qatar pada 29 Februari tahun lepas.

Perjanjian menyatakan bahawa AS akan mengundurkan semua tenteranya dari Afghanistan menjelang Mei, dengan Taliban berjanji untuk tidak membenarkan wilayahnya digunakan oleh pengganas – sasaran asal pencerobohan tentera AS ke Afghanistan selepas serangan 11 September 2001.

Masa depan tentera AS di Afghanistan di bawah pentadbiran Biden adalah tidak jelas selepas Rumah Putih mengumumkan pelan untuk menyemak semula perjanjian pengunduran yang dicapai tahun lepas.

Beberapa pemerhati memberi amaran pengunduran terlalu cepat AS dari negara itu mungkin akan menyebabkan negara itu semakin kucar-kacir. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here