Geng ‘Nuar Manchis’ ditumpas

Polis menumpaskan geng ‘Nuar Manchis’ selepas menahan lima lelaki warga tempatan di Bentong dan Kuala Lumpur serta merampas kira-kira 4.4 kilogram (km) dadah disyaki jenis heroin bernilai RM48,947.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan berkenaan dijalankan bermula Rabu hingga Jumaat lepas (3 hingga 5 Mac) melibatkan suspek berusia lingkungan 21 dan 35 tahun oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan IPD Sentul.

Beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki yang ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Lama Bentong, di sini pada jam 6.30 petang, Rabu lepas bersama 905 gram (g) dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine serta mempunyai satu rekod lampau bagi kesalahan dadah… tempoh reman mereka yang tamat semalam selepas tujuh hari akan disambung,” katanya pada sidang media di IPD Bentong di sini semalam.

Susulan tangkapan berkenaan, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki kira-kira jam 6.45 petang Khamis, di sebuah apartmen di Sentul bagi membantu siasatan sebelum menahan seorang lagi lelaki pada jam 1.45 petang di lokasi sama pada Jumaat dan merampas dadah seberat 530g.

“Kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu untuk siasatan lanjut,” kata Mohd Yusri.

Tangkapan terakhir melibatkan suspek lelaki dengan dua rekod lampau berkaitan dadah yang ditahan di parkir kereta di kawasan Brickfields pada 5 petang Jumaat bersama 2.97 kg dadah, katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan memperoleh bekalan dadah jenis heroin dari Kuala Lumpur untuk diedarkan di daerah Bentong serta bergiat aktif dalam tempoh empat bulan.

Selain dadah, beliau berkata wang tunai berjumlah RM14,700 dan barang kemas bernilai RM14,300 turut dirampas dengan kesemua suspek ditahan bagi membantu sisatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Yusri mengingatkan orang ramai khususnya penduduk Pahang supaya tidak terjebak dengan sindiket ‘Love Scam’ yang semakin membimbangkan.

Tanpa mendedahkan jumlah kerugian terkini, beliau berkata angka kerugian mangsa melibatkan jumlah yang tinggi dan orang ramai diminta lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here