Muafakat Nasional yang mengadakan mesyuarat bulanannya pada malam tadi mengambil pendirian untuk terus memperkukuh ikatan berkenaan selain memandang serius penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam.
Muafakat Nasional juga menggesa agar kerajaan merayu untuk membawa penghakiman berkaitan kalimah Islam ke Mahkamah Rayuan.
“Muafakat Nasional malam ini telah mengadakan mesyuarat bulanan seperti biasa mengikut jadual. Mesyuarat bersetuju untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional. Muafakat Nasional juga mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.
Mesyuarat juga menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selesai mesyuarat terbabit.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa Muafakat Nasional menggesa agar pihak kerajaan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat berkenaan dihadiri pimpinan kedua-dua parti berkenaan. UMNO diketuai Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan manakala PAS pula diketuai Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan yang lain kedua-dua parti terbabit.
Hubungan Pas dalam MN menjadi tanda tanya ketika ia juga dilihat mesra dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.