Pengecualian cukai untuk penjualan kenderaan yang diumumkan semalam diharapkan dapat meningkatkan permintaan dan memacu industri tersebut pada suku yang akan datang mendatang setelah mengalami kemerosotan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pengecualian cukai yang diumumkan dapat membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga jualan digabungkan dengan tawaran dan diskaun dari peniaga kereta.
“Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap unjurannya dan akan kekal kepada sasaran jumlah jualan kami yang disemak iaitu sebanyak 400,000 unit berbanding dengan jangkaan sebelum sebanyak 620,000 unit,” katanya.
Di bawah peraturan cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.
Aishah berkata jualan kereta yang dianggap sebagai barangan bernilai bagi pembeli akan mengikuti trend pekerjaan di negara ini.
“Bank ketika ini mengenakan prosedur ketat dalam meluluskan pinjaman kereta. Kami akan memantau trend ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada bulan April, hanya 141 jualan kenderaan dicatatkan berbanding 49,935 pada tempoh yang sama tahun lalu kerana pandemik Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).