Pas dulu bantah sekarang mahu persempadanan semula

Tiga tahun lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, partinya sejak awal membantah cadangan awal kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan berkenaan berkata, bantahan Pas itu kerana ia tidak mencerminkan kedudukan dan sosiobudaya.

Pendirian Pas ketika berstatus parti pembangkang itu terpampang di muka depan akhbar rasmi, Harakah, 2 hingga 5 April 2018.

Walau bagaimanapun, lain pula nada Pas apabila kini berada dalam sebahagian komponen kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN).

Pas mencadangkan persempadanan semula di beberapa negeri majoriti Melayu dilakukan bagi menambah bilangan kerusi kaum Melayu di Parlimen.

Mohd Amar berkata, cadangan untuk persempadanan semula itu sudah lama dibuat bagi menambah kawasan pilihan raya.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu semalam sekali gus bercanggah dengan pendirian Pas tiga tahun lalu.

Kata Mohd Amar, mungkin ada kawasan yang mencatatkan peningkatan jumlah pengundi dan ia perlu dibuat persempadanan semula.

“Sebab pertama persempadanan semula kerana pertambahan pengundi terutama di sebelah Pantai Timur iaitu Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.

“Satu kawasan parlimen itu, jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang, jadi dari segi wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban kepada dia. Sebab biasa dalam 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi.

“Jadi, sejak dulu lebih pada 10 tahun lalu lagi, kita sudah mencadangkan ketika pemerintahan (bekas) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dibuat semakan dan persempadanan semula,” jelasnya.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim semalam.

Tambahnya, Pas mencadangkan supaya ditambah kerusi di kawasan negeri yang dikuasai majoriti Islam di Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu.

“Ia juga dapat kita kekalkan (pemimpin Melayu) di parlimen. Cadangan (persempadanan semula) ini dah lama, tetapi tidak pernah diambil kira oleh pihak kerajaan.

“Kita harap ia diberi pertimbangan sebab sekurang-kurangnya ia boleh menyeimbangkan kerusi (Melayu) di Parlimen,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here