Pesona “Bunga Sakura Malaysia” di Sik

Pada setiap tahun sekitar bulan Mac hingga awal April, pokok bunga tekoma atau lebih dikenali sebagai ‘Sakura Malaysia’ akan mekar mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih dan fenomena setahun sekali ini ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana ianya cukup mempesonakan seolah-olah suasana musim bunga sakura di Jepun.

Menurut Penolong Arkitek Landskap Majlis Daerah Sik (MDS) Muniratul Akmar Mohd Isa, lokasi tumpuan yang paling terkenal di Kedah adalah di sepanjang Jalan Kuala Kedah dan juga Jalan Langgar, namun begitu Daerah Sik turut mengalami fenomena ini.

“Bunga tekoma kembali mewarnai landskap sepanjang jalan utama menghala ke Sik sehingga mempesonakan siapa saja yang melihatnya.

“Kuntuman bunga berwarna merah jambu dan putih sangat memukau dan ia juga berpotensi untuk dijadikan daya tarikan kepada pengunjung terutamanya daripada luar daerah,” ujarnya ketika dihubungi, di sini semalam.

Tinjauan mendapati, beberapa jalan di sekitar Pekan Sik, Taman Awam Sik serta Institut Kemahiran MARA (IKM) mula dipenuhi dengan bunga-bunga tekoma serta turut menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar kenangan.

Muniratul berkata Bahagian Landskap MDS akan terus menanam pokok ‘sakura’ ini di daerah ini secara berperingkat dalam usaha mengindahkan selain turut menjadi sebagai pokok teduhan.

“Pada sekitar 2009, MDS telah menanam sebanyak 80 batang pokok tekoma di beberapa kawasan bertujuan untuk mengindahkan lagi kawasan laluan sekitar Sik.

“Terdapat tiga jenis bunga tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla iaitu berbunga putih, merah jambu dan ungu, ia berkembang pada suhu panas musim kemarau dan bunga tersebut akan mula gugur sekiranya hujan mula turun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here