Saya menyangka bahawa hari semalam akan berlangsung seperti rutin harian setiap kali saya menghadiri perbicaraan di mahkamah sejak 3 tahun yang lalu.
Namun sangkaan saya berakhir dengan sesuatu yang tidak disangka.
Sejak hari pertama saya dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan, sehingga hari saya dijatuhkan hukuman, dan seterusnya sehingga hari ini, saya sentiasa menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan telah dianiayai.
Saya mungkin tidak mempunyai kebebasan untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai proses mahkamah dan strategi rayuan peguam-peguam saya, tetapi cukup untuk saya katakan di sini bahawa saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran.
Sejak tiga minggu kebelakangan ini, saya telah melihat kembali perjalanan proses pendakwaan terhadap saya termasuklah tindakan pihak bertanggungjawab untuk menutup mata terhadap segunung bukti yang membukti kebenaran saya, saksi-saksi penting dan golongan berpengaruh yang ghaib, dan pengampunan tersembunyi yang diberikan kepada individu-individu berjawatan tinggi dan penting yang telah dibukti mempunyai hubungan rapat dan terlibat dengan pemimpin-pemimpin politik yang lantang menentang dan mengaibkan saya.
Sewaktu saya bersiap-siap diri untuk ke mahkamah semalam, hati saya merasa pedih merasakan betapa beratnya ketidakadilan yang dipikul dalam kes ini.
Awan gelap yang menyelubungi minda saya berarak dengan kepiluan yang menyedarkan saya bahawa apa yang saya lalui hari ini bukanlah sesuatu yang asing dan baru dalam sejarah perundangan negara.
Penganiayaan seperti ini, sama ada yang bermotifkan politik, peribadi dan sebagainya, bukan sahaja sebahagian dari perang taktikal untuk mengawal dan mendominasi musuh.
Mungkin tidak ramai yang melihat bahawa penganiayaan ini memberi kesan jangka panjang dan parut yang tidak akan sembuh kepada mangsa.
Walaupun saya terus bersemangat untuk membuktikan kebenaran terhadap diri saya, saya tidak membenarkan kepedihan pengalaman ini untuk membakar api kebencian dan dendam dalam diri saya.
Sebaliknya, akan saya genggam bara ini menjadi abu yang akan saya semai bersama benih harapan untuk meneruskan khidmat saya kepada rakyat.
Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai penunjuk arah dalam perjalanan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat mengenai penganiayaan yang sedang berlaku.
Yang lebih penting lagi, saya akan menggunakan kemampuan yang ada untuk menampilkan rayuan terbaik bersama barisan peguam saya untuk membantu para hakim dan panel hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan yang berpihak kepada kebenaran dan tidak sebaliknya.
Saya ingin memastikan bahawa kali ini, roh keadilan akan dihormati seperti yang sepatutnya, tidak seperti sewaktu proses sabitan saya terdahulu.
Saat saya merasa bahawa tiada apa lagi yang boleh mengejutkan saya dalam perjalanan ini, takdir memilih untuk sebaliknya dan membuktikan saya masih boleh tersilap.
Setelah selesainya prosedur mahkamah semalam, saya ditemui wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman peribadi saya di mana saya diberikan notis muflis berkaitan dengan ringkasan penghakiman cukai pendapatan saya dari 2011 hingga 2017!
Mungkin tindakan memberi saya notis muflis pada hari pertama rayuan kes saya didengari adalah bertujuan untuk menabur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah atau untuk terus memalukan saya.
Bagaimana ia terjadi?
Kes cukai ini dikenakan terhadap saya oleh kerajaan PH dan langsung tidak mempunyai alasan kukuh atau merit. Ia kemudian diteruskan oleh kerajaan PN.
Ia berkaitan sejumlah RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun yang menggunakan nama saya di mana akaun itu diwujudkan bagi menerima sumbangan derma (sebagaimana didedahkan di mahkamah), dan RM642 juta dipindahkan secara terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi (dan ini juga dibuktikan di mahkamah). Jumlah RM2.6 bilion yang sangat popular (sebenarnya RM2 bilion) sudah DIPULANGKAN empat bulan kemudian.
(Ini sebenarnya dibuktikan sekali lagi beberapa hari lalu dalam mahkamah apabila pendakwaan kata:
“Faten Hadni berkata, analisis dan jejakan kewangan menggunakan kaedah FIFO ke atas penyata akaun bernombor 9694 milik Najib mendapati sebanyak RM2,034,350,000 telah dipulangkan semula ke akaun Tanore.”
Biarpun sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa membayar cukai pendapatan tanpa gagal tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan penalti yang tidak munasabah.
Sebelum ini, LHDN pernah keluarkan kenyataan di mana derma politik tidak dikenakan cukai.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Selain itu, semua wang yang diterima dalam akaun khas sudah digunakan bagi tujuan CSR serta politik dan bukan untuk tujuan peribadi – termasuk sumbangan kepada masjid di Malaysia dan bantuan banjir selama 4 tahun termasuk banjir besar pada 2014.
Bayangkan saya dikenakan penalti cukai RM1.7 bilion sebab gunakan wang dari Arab Saudi untuk membantu mangsa banjir dan masjid-masjid seluruh negara selama 4 tahun!
Kita perhatikan wang digunakan ini semua adalah untuk rakyat, tempat beribadah dan membantu mereka yang memerlukan tanpa perlu terhutang budi pada mana mana syarikat kroni.
Kesemua akauntan percukaian dan peguam percukaian termasuk yang berpengalaman di negara ini bersetuju bahawa kerajaan tiada merit untuk mengenakan penalti seperti itu dan tindakan itu sebagai tidak munasabah.
Dari zaman PH sehingga zaman PN kini, tiada seorang pun yang berani menjawab kenapa wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas 4 bulan dikira sebagai pendapatan peribadi dan dicukai serta dikenakan penalti 40% +10% +5%.
Bagaimanapun, undang-undang percukaian di negara ini terdedah kepada penyalahgunaan di mana prinsipnya adalah seseorang itu perlu melangsaikan penalti dahulu sebelum merayu dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan.
Dan jika anda tak boleh menjelaskannya, LHDN boleh isytihar anda muflis.
Pada November tahun lalu, menteri kewangan ketika ini diberi taklimat tentang kes cukai ini di mana beliau datang berbincang dengan saya untuk bertanya mengapa saya berkeras mahukan pengeluaran KWSP. Selepas beliau dapat tahu tentang derma negara asing dan dana dipulangkan empat bulan kemudian dikenakan cukai, beliau pergi ke LHDN dan meminta agensi itu berbincang dengan saya untuk jalan penyelesaian.
Bagaimanapun, minggu lepas beliau diberitahu oleh bosnya, untuk tidak lagi terlibat dengan isu cukai ini dan serahkan kepada bosnya.
Tiba tiba, rundingan dihentikan dan notis bankrap ini diserahkan kepada saya.
Saya yakin, masa notis muflis ini adalah berkaitan dengan 3 isu:
- Undian dijalankan penyelidikan UUM dan Utusan TV melibatkan 60,000 responden menunjukkan yang saya adalah PM pilihan bagi PRU15 dengan separuh dari undian manakala PM pada masa ini jauh di belakang dan hanya menduduki tempat keempat. BN pula juga gabungan pilihan pertama dalam poll manakala PN di tempat tercorot.
- Keputusan PAU UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PPBM/PN ketika PRU15.
- Kesimpulan terkini kes pelupusan harta di mana pendakwaraya gagal membuktikan barangan dan wang yang disita diperolehi dari dana 1MDB. Malah, hakim turut menolak afidavit pendakwaraya yang dikemukakan pada saat akhir. Hakim dijangka akan membuat keputusan untuk kes ini bulan depan.
- Bermulanya rayuan kes SRC di mana kami mempunyai 307 alasan kukuh mengapa hakim tidak berpengalaman yang tidak memiliki pengalaman kendali kes jenayah dan tiba tiba dipindahkan dari mahkamah sivil menggantikan hakim jenayah berpengalaman selepas perbicaraan bermula, membuat keputusan salah dengan mensabitkan saya. Peguam saya yakin saya mempunyai peluang yang baik dalam rayuan ini apatah lagi ahli keluarga salah seorang saksi pendakwaan didapati menerima ratusan juta dari Jho Low selepas sabitan saya.
APA?
Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini?
- Saya akan kehilangan status Ahli Parlimen Pekan dan pilihanraya kecil akan diadakan.
- Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan pilihanraya.
- Saya akan kehilangan semua wang simpanan yang saya kumpulkan semasa bekerja dalam perkhidmatan kerajaan di mana ia sekarang digunakan untuk menyara hidup dan membayar peguam saya.
Bagaimana saya nak membela diri dan membersihkan nama saya dalam kes-kes mahkamah jika saya dibankrapkan, akaun bank saya dibeku, pendapatan dari jawatan ahli parlimen dihentikan dan akibatnya, saya tidak dapat mengupah peguambela?
- Saya tidak akan mempunyai wang lagi untuk bayar fi peguam saya bagi menjalankan tugas pembelaan di mahkamah.
- Saya tidak akan terima kembali barangan dan wang yang disita biarpun jika saya menang kes itu.
Melihat ke depan:
- Saya tidak akan tunduk kepada individu yang menyalahgunakan undang-undang negara ini untuk menzalimi saya atas dasar politik dan ketamakan untuk berpaut pada kuasa.
- Saya akan terus bersuara demi rakyat Malaysia.
- Saya telah meminta peguam untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman.
Saya juga dengan rendah diri meminta semua akauntan cukai, peguam percukaian dan NGO untuk meneliti kes percukaian ini bagi memberi pandangan sama ada ia mempunyai merit atau sebaliknya.
Tidak ramai yang mengetahui, terutamanya di kalangan mereka yang masih cuba untuk terus menggertak dan mengugut saya, bahawa pengalaman yang saya lalui dari hari ke hari sejak tiga tahun lalu telah menjadikan saya lebih kuat dalam mendepani cabaran seperti ini.
Saya tahu, jauh di sudut hati saya, bahawa niat di sebalik pemberian notis ini melangkaui sekadar prosedur perundangan dan pelaksanaan yang harus dipenuhi oleh pihak berkuasa.
Setelah saya menghadami pemberian notis tersebut, saya tidak boleh melepaskan sorotan pemikiran yang membelenggu saya sejak sekian lama.
Sejurus tamatnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, wujud beberapa insiden dan tuduhan tidak disenangi yang dihunuskan kepada saya dan beberapa individu lain di dalam parti.
Mungkinkah dalam kerakusan sesetengah pihak dalam persiapan Pemilihan Parti yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, ada yang berkompromi dengan musuh dan secara tidak langsung mendedahkan diri mereka yang sebenar kepada saya?
Satu yang pasti buat saya adalah kegopohan mereka akan memakan diri kerana ia telah membuktikan kepada saya sesuatu yang telah lama saya syaki, iaitu terdapat lebih dari satu pihak seakan ‘invisible hand’ yang mahu bergelut untuk mengawal kuasa dalam parti UMNO dan kemudiannya, mendapat kuasa di Putrajaya.
Kerana sesiapa yang berjaya memimpin UMNO – parti yang mempunyai kuasa, pengaruh, dan pengalaman tiada tandingan – mempunyai peluang besar untuk memimpin negara suatu hari ini. Ini adalah impian yang sekian lama disorok oleh ramai pihak di dalam parti.
Sewaktu UMNO dan BN mengalami kekalahan besar di pilihan raya terdahulu, saya telah cuba melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin dan melepaskan jawatan saya sebagai Presiden parti dengan rasa tanggungjawab.