Benarkah Gula Perang Jauh Lebih Sihat Berbanding Gula Putih?

Gula dalam sejarah dunia

Sebelum kita berbincang tentang perbezaan antara gula perang dan juga jenis-jenis gula yang lain, mari kita imbau kembali sejarah gula dalam peradaban manusia.

Di benua Asia, gula mula dihasilkan di sub-benua India sejak zaman purba. Dari situ, penyebarannya mula berlaku sehingga ke Afghanistan masa kini. Penting untuk diingatkan bahawa gula bukanlah sesuatu yang mudah didapati mahupun murah ketika zaman purba.

Malahan, di kebanyakan bahagian-bahagian lain di dunia ketika itu, pemanis utama yang digunakan adalah madu. Asalnya, manusia awal mengunyah tebu demi mendapatkan rasa manis gula di dalamnya. Mujurlah untuk penduduk Asia Tenggara dan sub-benua India, tebu merupakan spesis tumbuhan yang natif kepada kawasan tersebut, membolehkan penemuan ciri-ciri dan potensi tebu.

Antara rujukan sejarah terawal berkaitan tebu boleh didapati dalam manuskrip Cina, dikatakan bertarikh sekitar abad ke-8 BCE. Dalam tradisi perubatan tamadun India (Ayurveda), gula asalnya bukanlah sesuatu yang dikira penting sehinggalah mereka menjumpai kaedah untuk menukarkan gula daripada tebu menjadi granul kristal, memudahkan proses simpanan dan penghantarannya.

Gula dalam bentuk granul kristal ini mula ditemui pada zaman empayar Gupta sekitar abad ke 5 CE.Pelayar-pelayar India yang membawa mentega dan juga gula ini kemudiannya bertindak mengajar pelayar dan pedagang lain yang mereka temui dalam perjalanan mereka.

Tidak lama kemudian, sami Buddha yang bermusafir pula membawa ilmu penghasilan gula ini ke tanah besar China.

Struktur dan jenis gula

 Gula, dalam bentuk karbohidrat, merupakan salah satu daripada makronutrien polimer semula jadi yang penting untuk kestabilan fungsi badan manusia selain lemak dan protein.

Ianya merupakan nutrisi utama kerana monomer atau bahan binaan asasnya (glukosa) merupakan ‘bahan bakar’ utama metabolisma badan kita, membekalkan tenaga untuk aktiviti sel, tisu dan juga organ.

Selain itu, ianya juga penting bagi membentuk struktur-struktur kompleks yang menjadi bahan binaan sel-sel dalam badan kita. Dari segi strukturnya, glukosa terdiri daripada tiga elemen asas iaitu karbon, hidrogen dan oksigen. Gula dapat dikelaskan kepada tiga paras yang berbeza berdasarkan paras rantaiannya. Ketiga-tiga paras tersebut adalah:

 

  • Monosakarida– Monosakarida ialah kumpulan struktur gula yang paling asas dan kecil. Dalam erti kata lain, ianya adalah batu-bata kepada struktur polimer yang lebih kompleks. Gula asas atau gula mudah dalam kumpulan monosakarida ini tidak boleh lagi dipecahkan melalui proses hidrolisis kepada unit yang lebih kecil. Contoh gula asas dalam kumpulan ini adalah glukosa, galaktosa, fruktosa, ribosa, dan deoksiribosa.
  • Oligosakarida– Berada satu tahap lebih tinggi dalam bentuk struktur berbanding kumpulan monosakarida. Ianya adalah kumpulan yang membabitkan gabungan lebih daripada satu struktur gula asas, serendah-rendah gabungan dua unit, sehinggalah setinggi lapan unit monosakarida. Dalam pembentukan rantaian monosakarida yang lebih panjang dan kompleks ini, setiap unit terikat dengan yang lain melalui ikatan glikosida. Oligosakarida boleh dibahagikan kepada kumpulan disakarida, trisakarida, dan seterusnya menurut bilangan unit monosakarida yang terdapat dalam molekulnya. Contoh Oligosakarida yang mungkin anda pernah dengari termasuklah maltosa, laktosa dan juga sukrosa.
  • Polisakarida– Polisakarida merupakan kelas karbohidrat yang mempunyai lebih daripada lapan unit monosakarida, menjadikannya berada pada hierarki tertinggi dalam struktur rantaian gula. Polisakarida seterusnya dapat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan homopolisakarida (contohnya kanji, glikogen dan selulusa) dan juga kumpulan heteropolisakarida (contohnya heparin).

Dari sudut nutrisi dan juga untuk kepentingan kesihatan, terdapat dua jenis karbohidrat utama yang selalu dibincangkan iaitu ringkas dan kompleks. Jenis yang ringkas atau disebut sebagai refined carbs dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada gula ringkas yang terdapat di dalam kek, gula-gula, biskut, makanan diproses, atau air bersoda. Gula putih juga dianggap sebagai karbohidrat ringkas. Gula ringkas boleh didapati di dalam susu, buah-buahan dan sayur-sayuran. Gula ringkas mudah dihadam dan diserap ke dalam darah. Gula ringkas menyebabkan insulin lebih cepat meningkat. Ini bukanlah sesuatu yang diinginkan kerana peningkatan paras gula yang laju dan mendadak dalam darah akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah dalam jangka panjang.

Bagi gula kompleks pula, ianya terdiri daripada dua kumpulan iaitu jenis yang berkanji dan juga bijirin penuh. Kedua-duanya mengambil lebih masa untuk diuraikan dan untuk dihadam oleh badan. Turut disebut sebagai whole carbs dalam bahasa Inggeris, ianya merupakan alternatif yang lebih sihat berbanding gula ringkas kerana keupayaannya untuk tidak mengakibatkan peningkatan paras gula dalam darah yang mendadak dan cepat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here