PUSPANITA Disaran Tingkat Kemahiran dalam Bidang Pendigitalan

Ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah disaran meningkatkan kemahiran dalam bidang pendigitalan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong, berkata hal tersebut penting agar ahli-ahli PUSPANITA berupaya melibatkan diri dalam apa jua inisiatif pendigitalan yang tersedia.

“Pendigitalan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dalam menghadapi norma baharu kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda.

“Selain itu, ia juga seiring dengan agenda kerajaan kerana Sabah telah menetapkan supaya inisiatif pendigitalan hendaklah menjadi satu agenda utama dalam perancangan strategik di semua kementerian dan agensi,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 PUSPANITA Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Safar yang juga merupakan Penasihat PUSPANITA Cawangan Sabah berharap agar ahlinya terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan dan sumbangan terbaik bagi menjayakan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025 yang dilancarkan pada 29 Mac lepas.

Sementara itu, Pengerusi Puspanita Cawangan Sabah Datin Nuinda Alias, menjelaskan sebanyak 166 program telah dijayakan sepanjang tahun 2020 dan beberapa program seperti Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 turut dilaksanakan sekitar Mac lepas.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed bersama isteri, Zarina Othman dan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here