2 pegawai kanan meminta rasuah, polis menjalankan siasatan dalaman

Polis akan memulakan satu siasatan dalaman berikutan penahanan dua pegawai kanan di Kelantan yang meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata pihaknya perlu menunggu siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tindakan tatatertib boleh diambil.

“Terpulang kepada SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya. Setakat ini, untuk mengambil tindakan tatatertib, kita kena tunggu siasatan SPRM dulu,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil apabila individu terbabit dituduh di mahkamah, namun buat masa ini pihaknya hanya mengambil tindakan menahan mereka daripada melakukan tugas terlebih dahulu.

“Sebaik hukuman dijatuhkan, kita akan menggantung dan menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Abdullah berkata, pihaknya bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada SPRM bagi membantu proses siasatan kes berkenaan sehingga ia selesai.

Tambah beliau, polis menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan lanjut namun siasatan dilakukan pihaknya juga selari dengan mereka.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintendan direman lima hari bermula semalam, bagi membantu siasatan membabitkan satu kes rasuah.

Ia selepas SPRM menahan pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Abdullah berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan perbuatan rasuah.FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here