Bayi lelaki maut kena patuk ular

REMBAU – Ibu kepada kanak-kanak yang maut akibat dipatuk ular dalam kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir di sini pada Jumaat lalu sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Ibu berkenaan, Nurul Diyana Awang, 33, berkata, anaknya Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, setahun lima bulan merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia bagai hilang arah apabila mendapati ada kesan patukan ular di tangan anaknya.

“Sebaik kejadian, saya segera bawa adik (panggilan untuk Muhammad Danial Iqwan) ke Hospital Rembau dan hati saya berdebar-debar setiap kali doktor memaklumkan perkembangan dia sehinggalah adik disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi Sabtu.

“Kejadian ini benar-benar memberi kesan mendalam dan sehingga kini saya masih terbayang gelak ketawa dan keceriaannya. Bagaimana pun saya reda dan adik… mama sayang adik sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau pada Sabtu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here